Trump didapati bersalah lakukan pencabulan seksual, fitnah bekas wartawan

NEW YORK: Juri di New York mendapati Donald Trump bersalah melakukan pencabulan seksual dan memfitnah seorang bekas wartawan majalah di Amerika Syarikat (AS).

Bekas presiden AS itu diarahkan membayar ganti rugi AS$5 juta (lebih RM22 juta) kepada wanita berkenaan, E Jean Carroll, tetapi sembilan juri bagaimanapun menolak dakwaannya bahawa dia dirogol Trump.

Ia sekali gus menyaksikan Trump pertama kali berdepan hukuman undang-undang berhubung rentetan dakwaan serangan seksual sejak beberapa dekad lalu dan bekas pemimpin itu pantas menolak keputusan itu sebagai ‘memalukan’.



Carroll, 79, menyaman Trump tahun lalu, dengan mendakwa lelaki itu merogolnya di bilik persalinan butik mewah Bergdorf Goodman di Fifth Avenue, Manhattan, pada 1996.

Bekas kolumnis untuk majalah Elle itu turut mendakwa bahawa Trump memfitnahnya apabila dia merujuknya sebagai ‘satu penipuan yang lengkap’ selepas dia mendedahkan dakwaan itu pada 2019.

Trump, 76, pendahulu untuk pencalonan Parti Republikan dalam pilihan raya presiden tahun depan, menyifatkan kesnya sebagai tuduhan ‘palsu’ dan ‘pembohongan’.

Juri memutuskan bahawa Carroll membuktikan pencabulan seksual iaitu hubungan seksual tanpa persetujuan, dengan kelebihan bukti, dan menganugerahkannya AS$2 juta (RM8.9 juta) kepadanya.



Enam juri lelaki dan tiga juri wanita juga berkata, Trump harus membayar Carroll hampir AS$3 juta (kira-kira RM13.3 juta) untuk fitnah.

Berikutan keputusan itu, Carroll meninggalkan Mahkamah Persekutuan di Manhattan sambil tersenyum, tetapi tidak bercakap dengan wartawan.

“Kami sangat gembira,” kata peguamnya, Roberta Kaplan.

Trump menyelar keputusan itu di pentas media sosialnya, Truth Social.



“Saya langsung tidak tahu siapa wanita ini,” tulisnya, dengan menggunakan huruf besar sepenuhnya.

Carroll sebelum ini memberitahu perbicaraan kes sivil selama dua minggu itu bahawa serangan berkenaan menyebabkan dia berasa ‘malu’ dan tidak dapat menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Katanya, dia mengambil masa lebih 20 tahun untuk mendedahkan kepada umum kerana ‘takut’ dengan Trump.

Dalam pada itu, pasukan kempen pemilihan Trump pada 2024, dalam satu kenyataan bersama, berkata kes berkenaan adalah ‘bermotifkan politik’ bagi menghalang usaha Trump untuk kembali menjadi presiden dan akan memfailkan rayuan.



Sebelum ini, lebih 10 wanita menuduh Trump terbabit dalam salah laku seksual, menjelang kempen pemilihan presiden 2016, yang akhirnya menyaksikan Trump menang jawatan Presiden AS.

Trump menafikan semua tuduhan terhadapnya dan tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan dan tiada tuduhan jenayah boleh dimulakan berasaskan kes sivil yang difailkan Carroll.

AFP

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button