Lelaki ditahan berkelakuan jelik di tempat ambil wuduk BSI

Johor Bahru: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki berkelakuan jelik di tempat mengambil wuduk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 69 tahun itu ditahan sejurus kejadian selepas mendapat laporan pada pukul 4.36 petang tadi.

“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan air kencing negatif,” kata beliau dalam satu kenyataan, malam ini.



Kamarul Zaman berkata permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Johor Bahru dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kata beliau.

Justeru, beliau berkata orang ramai dinasihati agar tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan suasana yang tidak baik dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lelaki berdiri di tempat mengambil wuduk, dipercayai sedang membuang air kecil sebelum ditegur seorang lelaki lain mengenai perbuatannya itu.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button