“Demi Trishika Saya akan belajar bahasa Tamil”

Segamat: Meskipun berlainan agama, Nur Suhana Salim tidak keberatan untuk menjadi pengasuh kepada kanak-kanak India dikenali Trishika.

Kisah Nur Suhana itu mendapat perhatian selepas dia berkongsi video Rishika di TikTok, baru-baru ini dengan rata-rata netizen memujinya.

Berkongsi kisah sebenar, Nur Suhana berkata, dia baharu empat hari menjaga Trishika yang berusia tiga tahun dan video itu dimuat baik selepas mendapat keizinan daripada ibu bapa kanak-kanak itu.



Menurut Nur Suhana, dia sendiri tidak sangka diberi kepercayaan menjadi pengasuh kepada Trishika namun cuba sedaya upaya menjaganya sebaik mungkin.

“Kira-kira dua atau tiga bulan lalu, saya ada muat naik hantaran tawarkan khidmat sebagai pengasuh.

“Baru-baru ini, saya terima kiriman mesej di WhatsApp daripada ibu saudara Trishika maklumkan mahu mengambil saya sebagai pengasuh.

“Tak sangka dapat kepercayaan itu tetapi sebelum memulakan tugas, saya berjumpa keluarga Trishika terlebih dulu untuk berkenalan.



“Mereka sangat baik serta percayakan saya, itu membuat saya yakin untuk ambil tanggungjawab itu walaupun takut pada awalnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Suhana berkata, dia mempunyai pengalaman sebagai pengasuh selama tujuh tahun iaitu sejak awal berkahwin dan menjadi suri rumah lagi.

“Bagaimanapun, saya sebelum ini hanya menjadi pengasuh dalam kalangan anak orang Melayu.

“Kali ini, dapat jadi pengasuh untuk anak orang India pula, saya okay saja kerana memang sukakan budak.



“Setakat ini tiada masalah cuma Trishika tak faham bahasa Melayu kerana dia sudah biasa bercakap dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris.

“Jadi, saya akan cuba belajar bahasa Tamil untuk fahamkan maknanya manakala Trishika pula suka ikut apa saya cakap ketika tengok saya dan emak yang tinggal bersama bersembang di rumah,” katanya.

Menurut Nur Suhana, walaupun baharu menjaga Trishika, dia sudah mula sayang dengan kanak-kanak itu.

“Trishika panggil saya kakak dan tak boleh berenggang dengan saya.



“Dia tak takut orang, pandai bawa diri dan sangat mudah dijaga, jadi selagi diberi kepercayaan oleh ibu bapanya, saya akan terus menjaga Trishika.

“Lagipun, suami saya okay saja kerana kami pun tiada anak jadi sekurang-kurangnya ada juga penyeri di rumah,” katanya.

Berhubung video perkongsiannya di TikTok, Nur Suhana tidak menyangka ia boleh raih tontonan tinggi hingga dapat perhatian ramai.

“Saya saja kongsi untuk kenangan dan tak sangka sampai begitu sekali maklum balas diterima.



“Alhamdulillah, kebanyakan komen positif malah ramai puji Trishika cantik,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button