Jing Xuen raih emas golf wanita

PHNOM PENH: Ng Jing Xuen melakar sejarah hari ini apabila menjadi pemain golf pertama negara memenangi emas individu wanita di Sukan SEA.

Jing Xuen mengatasi pemain pilihan dari Thailand, Eila Galitsky pada lubang pertama playoff untuk penentuan pingat emas di lapangan Kelab Golf Garden City, Phnom Penh.

Jing Xuen tenang menyempurnakan pukulan putt untuk par bagi mengakhiri kemarau 30 tahun pingat emas acara golf wanita.



Kali terakhir Malaysia memenangi emas kategori wanita adalah menerusi trio Lim Ai Lian, Lim Siew Ai dan Irene Yeoh untuk emas acara berpasukan pada edisi 1993 di Singapura.

Ai Lian turut memenangi perak acara individu, yang menjadi pencapaian terbaik pemain golf wanita negara sehingga kejayaan Jing Xuen hari ini.

Jing Xuen, yang ketinggalan satu pukulan di belakang Galitsky pada permulaan pusingan hari ini, melakukan lima bawah par 67 untuk keseluruhan 13 bawah par 203.

Dia berjaya mengheret perlawanan ke pusingan playoff selepas Galitsky sekadar mencatat empat bawah par 68.



Foong Zi Yu meraih gangsa untuk negara selepas turut melakukan 67 pukulan pada pusingan terakhir dan mengumpul 208 pukulan keseluruhan.

Jing Xuen berkata, teori ikan emas pemain nombor satu dunia dari Sepanyol, Jon Rahm menjadi inspirasi kepada kejayaannya.

Selepas memenangi Masters Amerika Syarikat bulan lalu, Rahm mendedahkan berfikir seperti ikan emas membantunya.

Menurut Rahm, ikan emas hanya mempunyai ingatan selama 10 saat, dan mereka perlu melupakan kesilapan secepat mungkin.



“Ia amat menakjubkan, sukar dipercayai dan dijangka. Saya tidak tahu yang saya akan menjadi pemain negara pertama memenangi emas individu wanita sehingga Teoh (Piek Kee, pengurus pasukan) memberitahu saya.

“Saya rasa temu bual Jon Rahm amat membantu saya. Menjadi ikan emas di atas lapangan. Menjadi dungu dan bodoh. Walaupun pukulan teruk, kekal gembira dan lupakannya.

“Dengan berfikir begini, semuanya jadi lebih teratur,” kata Jing Xuen.

Malcolm Ting pula meraih perak dalam acara individu lelaki selepas mengatasi pemain Vietnam, Anh Minh Nguyen dan rakan senegara, Anson Yeo pada playoff tiga penjuru untuk penentuan tempat kedua.



Pemain Vietnam, Khanh Hung Le muncul juara selepas mendahului empat pukulan dengan 13 bawah par 203.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button