Talbis Iblis kutip RM1 juta dalam tempoh empat hari

Kuala Lumpur: Selepas empat hari ditayangkan, filem Talbis Iblis berjaya meraih kutipan RM1 juta.

Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai berkata, filem seram itu semakin mencatatkan peningkatan jumlah penonton ke pawagam.

“Disebabkan cuti yang panjang sempena perayaan Deepavali, mungkin ramai yang sudah mula ambil cuti menyebabkan hari pertama tayangan filem ini sedikit perlahan, tapi tak sangka jumlah penonton semakin meningkat hujung minggu ini.



“Pihak kami dimaklumkan antara negeri yang mencatat jumlah penonton yang ramai adalah di Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan. Kami amat bersyukur dengan maklum balas positif ini.

“Saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran sebaliknya berharap penonton menyukai filem ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Gayatri, filem arahan Kabir Bhatia itu sarat dengan pelbagai mesej positif dan peringatan kepada setiap manusia untuk tidak membelakangi Tuhan.

“Filem ini mengingatkan kita mengenai kewujudan syaitan atau iblis yang akan terus menghasut manusia ke arah kejahatan.



“Justeru kita sebagai manusia perlu sentiasa mempercayai kepada Tuhan kerana Dia yang akan menyelamatkan kita. Jangan mengingat Tuhan hanya ketika susah saja,” katanya.

Filem Tablis Iblis mengisahkan seorang gadis dikenali sebagai Hajar yang dihantar ke sebuah tempat jauh dari kota untuk melahirkan bayi secara rahsia.

Namun, bidan Mak Ju yang menjaga Hajar mempunyai perancangan lain terhadap gadis itu.

Selain Zul Ariffin yang membawa watak Nasir, filem ini menampilkan lakonan hebat Nasha Aziz, Azira Shafinaz, Sherie Merlis dan Jay Iswazir.



Diterbitkan Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment, filem Talbis Iblis ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Singapura sejak 20 Oktober lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button