Lelaki ditahan seleweng diesel di stesen minyak

Alor Setar: Lelaki ditahan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana disyaki menyeleweng minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai di sini, semalam.

Lelaki 32 tahun yang juga pemandu sebuah van itu ditahan hasil pemeriksaan Op Tiris yang dilakukan dari 4 petang semalam hingga tengah malam tadi berdasarkan maklumat dan aduan orang awam.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, sewaktu pemeriksaan di stesen minyak berkenaan, anggota penguat kuasa menahan sebuah van Toyota bernombor pendaftaran tempatan bersama lelaki itu yang mengisi minyak diesel.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua unit tangki fiber IBC yang berisi minyak diesel.

“Hasil soal siasat, pemandu tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

“Anggota penguat kuasa kemudian menyita sejumlah minyak diesel dianggarkan 650 liter yang ditemukan di dalam tangki IBC berkenaan, dan van itu disyaki digunakan untuk penyelewengan minyak diesel itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Affendi berkata, beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut, manakala pemandu van itu ditahan untuk siasatan.

Beliau berkata, nilai rampasan minyak diesel adalah RM1397.50, manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6,697.50.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker