PASUKAN LELAKI BUKA KEMPEN SUKAN SEA 2023 DENGAN 3 MATA

Phnom Penh: Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan turun untuk perlawanan pertama pusingan round robin, acara Hoki Padang, Temasya Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo dengan langkah kanan selepas tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan mereka, tuan rumah Kemboja, 6-0.

Enam gol yang terhasil pada perlawanan pertama adalah menerusi tiga gol gerakan padang, dua gol pukulan sudut penalti dan satu gol penalti stroke selain keputusan hari ini juga menyaksikan Malaysia berada di tangga teratas carta hasil kelebihan gol.

Situasi panas dapat dilihat pada pertemuan hari ini selepas tuan rumah, Kemboja cuba melakukan provokasi dengan membantah beberapa keputusan pengadil yang menyebabkan dua kali perlawana terpaksa dihentikan.



Bagaimanapun situasi tersebut nyata tidak memberikan kesan kepada pasukan negara yang terlebih dahulu membuka tiria jaringan pada minit keempat hasil jaringan Muhammad Najib Abu Hassan sebelum Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjaringkan gol penalti stroke pada minit ke-19 dan diikuti satu lagi gol padang jaringan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar pada minit ke-21 yang sekaligus meletakkan Malaysia dihadapan 3-0 pada separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi gol kali ini hasil gol pukulan sudut penalti Alfarico Lance Liau Jr pada minit ke-45, gol gerakan padang Shahmie Irfan Suhaimi pada minti ke-55 dan beberapa saat sebelum aksi sebenar berakhir, kem negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti yang menyaksikan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menutup perlawanan dengan kemenangan 6-0 buat Malaysia.

Ketua Jurulatih Pasukan Sukan SEA Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim masih kurang berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya walaupun meraih kemenangan 6-0 pada aksi pertama.

“Alhamdulillah kemenangan pertama pasukan. Perlawanan hari ini, pemain nampak gugup dan hilang arah terutama pada dua suku pertama. Mungkin kerana faktor cuaca dan rata-rata pemain-pemain muda ini pertama kali beraksi di Temasya Sukan sebegini. Namun pada dua suku seterusnya, pemain nampak selesa dan tenang bermain serta berjaya keluar dengan kemenangan tanpa bolos.



“Dua gol daripada pukulan sudut penalti tidak mencukupi, dan pemain yang terlibat perlu mengambil tanggungjawab serta cuba memperbaiki semula kelemahan penyudah pukulan sudut penalti.

“Kelonggaran di barisan pertahanan yang membenarkan pihak lawan masuk ke dalam kawasan “D” dan melakukan kesilapan mudah hingga memberikan lawan pukulan sudut penalti. Namun pujian juga harus diberikan kerana pemain yang berjaya bertahan dengan baik pada keempat-empat pukulan sudut penalti lawan.

“Untuk pertemuan dengan Singapura, apa yang kami lihat, Singapura bermain dengan baik ketika menentang Indonesia semalam dan kami dapat melihat beberapa kelemahan mereka dari segi fizikal terutamanya.

“Saya berharap pemain akan menggunakan kelebihan pasukan kami dengan sebaiknya selain memberikan tekanan serta menyerap asakan pihak lawan untuk kami segera melakukan serangan balas dan cuba meraih kemenangan kedua,” jelas beliau.



Hari ini, Skuad Lelaki Kebangsaan akan turun beraksi bertemu Singapura pada jam 5:00 petang (waktu Malaysia)

Sumber : mhc.org

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button