Hadiah buat hari lahir ibu,

PHNOM PENH: Norsyakirah Muksin yang membuat penampilan sulung pada temasya Sukan SEA 2023 menepati janjinya untuk membawa pulang pingat emas sebagai hadiah hari lahir ke-54 buat ibunya, Sarinah Abdul Sikal.

Pesilat berusia 22 tahun itu berjaya menewaskan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33 dalam pertarungan sengit dan mendebarkan aksi final kelas bawah 45 kilogram (kg) putri yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.

Pengorbanan tidak bertemu insan yang disayanginya sejak dua bulan lalu sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu nyata berbaloi dan Norsyakirah berkata, ibunya sebak apabila diberitahu yang dia berjaya memenangi emas buat Malaysia.



Norsyakirah berkata, dia pernah tewas kepada Suci pada Kejuaraan Silat Dunia di Melaka tahun lalu dan tidak menyangka dapat menebusnya di Sukan SEA.

“Saya berlatih dengan penuh gigih untuk Sukan SEA, saya fikir saya boleh menjadi lebih baik di masa depan. Saya tidak bertemu ibu saya sejak dua bulan lalu kerana mengikuti latihan kem kebangsaan.

“Hari lahir ibu saya adalah pada 5 Mei lalu dan saya memberitahunya, saya akan membawa pulang emas sebagai hadiah hari lahirnya. Saya bersyukur kerana dapat meraih pingat ini untuknya.

“Ibu saya sebak apabila saya memberitahunya saya memenangi pingat emas… dia minta saya bersyukur kerana meraih kemenangan dan berkata, dia akan menyambut saya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dari Kota Marudu yang mengambil tempoh tiga jam perjalanan.



“Saya tahu, lawan akan bertarung habis-habisan untuk menewaskan saya selepas ini memandangkan saya adalah pemenang pingat emas Sukan SEA. Saya akan berlatih lebih gigih untuk meningkatkan lagi prestasi saya,” kata atlet dari Kota Marudu, Sabah itu.

Dalam pada itu, kem silat negara terus membuahkan pingat emas menerusi Muhammad Izzul Irfan Marzuki dalam kelas bawah 65kg putra selepas menewaskan pesilat Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33.

Sebelum itu, Nor Farah Mazlan turut meraih emas dalam kelas putri A.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button