Atlet terjun bakal terima imbuhan

Phnom Penh: Adakah skuad terjun negara akan menerima imbuhan daripada prestasi cemerlang yang dipamerkan mereka di Sukan Sea Kemboja 2023.

Ia susulan Presiden Persekutuan Renang Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim seakan masih berteka teki sama ada pihaknya akan memberikan imbuhan atau sebaliknya.

Namun, ketika ditemui pemberita di Pusat Akuatik Morodok Techo, hari ini, Shahidan memaklumkan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Katanya, pengiktirafan daripada rakyat Malaysia adalah perkara utama mengenai pencapaian cemerlang yang ditampilkan skuad terjun negara.



“Saya datang sebagai penyokong dan Insya-Allah kita akan bincang benda itu (imbuhan). Setiap kali kita datang kita akan pastikan atlet kita sentiasa gembira.

“Saya akan bagi tahu kemudian. Pertama sekali, pengiktirafan daripada rakyat, rakyat sokong kepada perjuangan kita kerana itu yang rakyat nak tengok.

“Kalau jumlah wang yang kita nak bagi itu, ia adalah lebih kepada atlet. Atlet juga nak tengok orang ramai yang menyokong mereka,” katanya.

Skuad terjun negara menutup saingan di Sukan Sea Kemboja dengan terjunan emas daripada Enrique Maccartney Anak Harold dalam acara platform lelaki, hari ini, sekali gus menyapu bersih empat pingat emas dipertandingkan untuk sukan itu.



Mengulas lanjut, Shahidan menyifatkan kejayaan yang diraih skuad terjun negara pada temasya kali ini membuktikan bahawa segala usaha yang dilakukan sebelum ini berjaya.

“Saya cukup gembira dan berdebar sebab kita hantar pelapis. Namun kita lihat prestasi mereka amat cemerlang. Ini menunjukkan usaha kita selama ini mendapat kejayaan. Walaupun pelapis, tetapi mereka bukan berlatih sebulan dua, tetapi bertahun-tahun,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker