Israel umum perang akan reda

 

Oleh Pena Merah

Israel umum perang akan reda
Orang ramai berjalan di tengah-tengah bangunan yang musnah di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 14 Januari 2024, ketika perang berterusan antara Israel dan pejuag Palestin memasuki hari ke-100. – Foto AFP

 

Israel semalam mengumumkan fasa ‘intensif’ perangnya terhadap Palestin di selatan Gaza akan ‘segera’ berakhir.



Kenyataan itu susulan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu gencatan senjata kemanusiaan segera dilakukan di Gaza.

Bercakap pada sidang media, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata fasa ‘taktikal intensif’ yang dijangka berlangsung kira-kira tiga bulan di selatan Gaza, ‘akan berakhir tidak lama lagi’.

Selain itu, katanya, fasa sama sudah hampir dicapai di utara Gaza dengan tentera Israel mengesahkan satu daripada empat bahagian di wilayah itu sudah menarik diri, Isnin lalu.

Sementara itu, Kabinet Israel meluluskan pindaan Bajet 2024 dengan perbelanjaan tambahan bernilai 55 bilion shekel (RM70.04 bilion) bagi menampung kos perang, sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menyatakan pertempuran akan terus berlanjutan selama beberapa bulan.



Sementara itu, rejim Zionis meningkatkan operasi dan serangan bedilan di bandar selatan Khan Yunis serta Rafah sejak beberapa minggu lalu selepas mendakwa sudah memusnahkan struktur ketenteraan Hamas di utara.

Berdasarkan angka rasmi Tel Aviv, peperangan sejak 7 Oktober tahun lalu itu mengakibatkan kemusnahan di Semenanjung Gaza selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel, menyebabkan kira-kira 1,140 kes kematian.

Kementerian Kesihatan Palestin pula merekodkan sekurang-kurangnya 24,100 warga Gaza, sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan balas Israel.

Sementara itu, PBB menjelaskan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza meninggalkan rumah masing-masing sejak lebih tiga bulan konflik berlarutan.



Ketua PBB, Antonio Guterres, mengulangi gesaan gencatan senjata kemanusiaan di Gaza, ‘bagi memastikan bantuan mencukupi sampai ke lokasi diperlukan, membantu pembebasan tawanan serta meredakan ketegangan konflik terbabit.

Malah, Israel berdepan tekanan antarabangsa susulan krisis kemanusiaan di Gaza dan lonjakan bilangan kematian orang awam dengan Kementerian Kesihatan diterajui Hamas melaporkan 60 kematian dalam serangan malam, antara Ahad hingga Isnin.

Keganasan di Tebing Barat, tembakan berterusan di sempadan Israel-Lubnan serta serangan pasukan Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan pemberontak Yaman di Laut Merah, menimbulkan ketakutan konflik merebak ke luar Semenanjung Gaza. – AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading