“Tawaran berlakon makin kurang” – Syanie

 

Oleh Pena Merah

"Tawaran berlakon makin kurang" - Syanie
Syanie yang pernah membintangi filem Jaga-Jaga Senariunion mendakwa hanya menerima satu atau dua tawaran lakonan setiap tahun, sejak mula bertudung.

Pelakon, Syanie Hisham, 50, mengaku sejak berhijab pada 2021, tawaran berlakon makin kurang.

Syanie yang pernah membintangi filem Jaga-Jaga Senariunion mendakwa hanya menerima satu atau dua tawaran lakonan setiap tahun, sejak mula bertudung.



Bagaimanapun, bekas peserta musim kedua program realiti, MasterChef Selebriti itu tidak kesal. Syanie percaya rezeki masih ada berikutan mengusahakan perniagaan bersama suami.

“Selepas bertudung, ada satu atau dua tawaran diterima dalam tempoh setahun. Misalnya, tahun lalu saya terima dua tawaran menjayakan drama bersiri.

“Saya tidak kesal dan tidak kesah sebab sudah berada dalam industri ini sejak 30 tahun lalu. Mungkin orang hendak tengok muka lain, jadi, saya berikan peluang kepada mereka.

“Memang peminat anggap pelakon lama dan baharu lain. Tetapi, saya cakap mereka kena faham permintaan stesen televisyen (TV) yang mahukan orang baharu, saya okay sahaja,” katanya kepada BH Online.



Berkongsi kerjaya lakonan, Syanie berkata, kali terakhir dia menjalani penggambaran pada Ramadan, tahun lalu melalui drama bersiri Budak Flat yang sedang ditayangkan di platform penstriman.

“Alhamdulillah, watak yang saya bawa dalam siri itu berbeza dan ramai yang puji.

“Kalau penerbit bagi peluang, insya-Allah saya boleh buat. Janganlah stereotaip pelakon badan besar hanya boleh melakonkan watak komedi.

“Bagi saya peluang yang diberi Skop Productions sangat baik,” katanya.



Syanie atau nama sebenar, Syaniza Hisham memilih berhijab selepas berkahwin kali ketiga dengan Zahril Hafiz Mohammed Nor pada 19 Februari 2021.

Dalam perkembangan lain, Syanie giat menjayakan program infak bersama Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) bagi membantu artis dan golongan memerlukan.

Mengulas mengenai pemergian bekas anggota kumpulan Senario, Allahyarham Hamdan Ramli 54, Syanie merasa kehilangan yang besar berikutan hubungan dengan anggota Senario seperti abang dan adik.

“Kali terakhir kami berlakon bersama adalah melalui filem Jaga-Jaga Senariounion.



“Apabila tiba masa rehat, masing-masing duduk dan tidur. Saya cakap kepada arwah, nampak sangat kita sudah tua.

“Saya tidak pernah sangka arwah sakit, namun, itulah itulah kehidupan.

“Ralat tidak dapat ziarah arwah kerana beliau meninggal dunia di Johor dan dikebumikan di Perak,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Allahyarham Hamdan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, selepas ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana jangkitan kuman. Sebelum itu, Allahyarham Hamdan dilapor mengalami cirit birit dan sesak nafas.



-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button