Skuad hoki lelaki negara kutip tiga mata

Phnom Penh: Aksi kedua pusingan round robin, acara Hoki Padang Lelaki, Temasya Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, menyaksikan kem negara berjaya menutup perlawanan dengan 3 mata selepas menewaskan Singapura 4-3.

Kemenangan tersebut juga sekaligus meletakkan Malaysia kekal di tangga teratas selepas dua perlawanan dengan mengumpul keseluruhan enam mata diikuti Indonesia empat mata dikedudukan kedua dan Thailand dikedudukan ketiga dengan tiga mata.

Empat gol yang dicetak oleh pasukan negara pada pertemuan dengan Singapura hari ini hasil tiga gol pukulan sudut penalti dan satu gol gerakan padang sementara tiga gol yang dijaringkan oleh Singapura hasil dua gol pukulan sudut penalti dan satu gol gerakan padang.

Jaringan Malaysia bermula beberapa saat sebelum aksi suku pertama tamat apabila kem negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan gol jaringan Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minti ke-15 itu kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.



Bersambung suku ketiga, Singapura dilihat cuba merapatkan jurang gol menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Noor Silas namun dua minit sebelum tamat suku ketiga, kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki Malaysia, diterjemahkan kepada jaringan oleh Alfarico Lance Liau Jr untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Sebaik suku keempat bersambung, Singapura sekali lagi menjaringkan gol penyamaan kali ini hasil gerakan padang Dineshraj Naidu namun jaringan tersebut segera dipadamkan oleh Muhammad Amirul Hamizan Azahar yang sekali lagi menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti, beberapa saat selepas Singapura menjaringkan gol.

Singapura mengubah kedudukan menjadi 3-3 pada minti ke-53 apabila satu lagi pukulan sudut penalti yang dimiliki mereka diterjemahkan kepada gol oleh Noor Silas, namun minit ke-57, Muhammad Najib Abu Hassan muncul penyelamat negara apabila menjaringkan gol gerakan padang dan kedudukan 4-3 berpihak Malaysia kekal menutup perlawanan.

Ketua Jurulatih Pasukan Sukan SEA Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menzahirkan rasa tidak puas hatinya disebalik kemenangan hari ini dengan menyifatkan anak-anak buahnya tidak bermain pada tahap prestasi sebenar mereka selain melakukan beberapa kesilapan mudah yang menyebabkan pasukan lawan dapat menguasi permainan dan mereka berada di dalam tekanan.



“Pujian tetap harus diberikan atas kemenangan hari ini dan saya berharap pemain akan membuat analisa individu untuk menambah baik persembahan mereka.

“Sekali lagi dua gol melalui pukulan sudut penalti agak kurang memuaskan, namun pemain tetap berjaya menjaringkan gol.

“Kami terlalu mudah membenarkan lawan mendapat pukulan sudut penalti dan mereka menjaringkan gol daripada kelebihan tersebut. Apa yang saya lihat, disiplin kami ketika bertahan perlu diperkemaskan lagi dan perlu lebih fokus dalam bertahan.

“Menjelang pertemuan dengan Thailand, mereka bukan lawan yang mudah kerana mereka mempunyai struktur permainan yang bagus dan kami perlu lebih bijak untuk bermain dengan mereka serta tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti dua perlawanan yang telah kami lalui. Saya percaya kami mampu mencatat kemenangan dengan Thailand,” jelas beliau.

Skuad Lelaki Kebangsaan akan turun beraksi bertemu Thailand pada Sabtu (13 Mei) jam 9:00 pagi (waktu Malaysia).

Sumber : mhc

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker