Selangkah lagi untuk emas hoki padang
Phnom Penh: Skuad hoki lelaki kebangsaan mengesahkan tiket awal ke final acara hoki padang di Sukan Sea Kemboja 2023 selepas membelasah Thailand 5-0, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Morodok Techo itu, anak buah Muhamad Amin Rahim mendahului menerusi pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi sebelum Muhammad Najib Abu Hassan menambah gol kedua, lima minit kemudian.
Belum sempat Thailand mengatur langkah untuk bangkit, Shahmie mengukuhkan kedudukan buat skuad negara pada minit ke-20 dan 10 minit selepas itu, giliran Mohammad Harris Iskandar Osman pula mencetak nama selaku penjaring untuk menyumbang gol keempat negara.
Skuad negara melengkapkan kemenangan bergaya menerusi jaringan padang Shahmie pada minit-49, sekali gus turut mencipta hatrik pada perlawanan ini.
Skuad negara yang merekodkan kemenangan bersih dalam tiga aksi berada di kedudukan teratas peringkat round robin dengan mengumpul sembilan mata dan akan berdepan Indonesia pada aksi terakhir, esok.
Mengulas mengenai persembahan anak buahnya, Amin berpuas hati dengan permainan anak buahnya yang beraksi mengikut perancangan yang diatur.
“Paling penting untuk pasukan adalah disiplin selain konsisten dalam setiap perancangan pasukan yang dirancang supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada pasukan lawan menguasai permainan.
“Untuk pertemuan dengan Indonesia esok, kami perlu terus mengekalkan disiplin serta konsisten sepanjang perlawanan.
“Pemain juga harus bijak dan tidak memberi harapan kepada lawan atau menghidu peluang yang boleh digunakan mereka apabila kami bertemu sekali lagi di pentas final nanti,” katanya.
METRO