2 mat rempit ditahan padah aksi ‘Superman’

Batu Pahat: Akibat menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi ala ‘Superman’ serta ‘zig zag’, dua ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat hadapan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kedua-dua mat rempit berusia lingkungan 20-an itu ditahan secara berasingan dalam operasi bermula jam 1 pagi.

Beliau berkata, sebelum ditahan, sepasukan terdiri seorang pegawai dan empat anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) menjalankan operasi berikutan kerap menerima aduan berhubung samseng jalanan di kawasan itu.

“Hasil pemantauan mendapati dua mat rempit itu dilihat menunggang dalam keadaan bahaya tanpa mempedulikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

“Anggota polis kemudian menjalankan risikan sebelum menahan kedua-dua mat rempit itu,” katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka kemudian dibawa ke BSPTD Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak melanggar peraturan jalan raya termasuk melakukan aksi merbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan. Operasi seperti ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan samseng jalanan.

“Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan memantau pergerakan anak-anak terutama pada waktu malam bagi mengelakkan mereka terjebak dengan kegiatan tidak sihat ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker