Cipta rekod tinggal dalam air 74 hari
Tallahassee, Amerika Syarikat: Profesor Universiti Florida Selatan, Dr Joseph Dituri yang tinggal di lautan bagi menjalankan penyelidikan berjaya memecah rekod tinggal di bawah air paling lama, lapor Mirror UK.
Dr Joseph Dituri, 55, mencipta rekod apabila tinggal di rumah persinggahan penyelam skuba bawah air, Jules Undersea Lodge di Florida Keys yang terletak pada kedalaman kira-kira sembilan meter di dasar laut selama 74 hari sejak 1 Mac lalu.
Beliau hanya makan telur dan salmon mengandungi protein yang dimasak dalam ketuhar gelombang mikro, selain turut melakukan senaman setiap hari dan tidur selama satu jam.
Berkongsi pengalamannya di Twitter, Dr Dituri yang dikenali sebagai Dr Deep Sea berkata, rasa ingin tahu mengenai kehidupan di bawah air menyebabkan beliau melakukan perkara itu.
“Matlamat saya sejak hari pertama adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Sebelum melakukannya, saya menemubual saintis yang mengkaji kehidupan di bawah laut dan mempelajari bagaimana tubuh manusia berfungsi dalam persekitaran itu,” ciapnya.
Rekod sebelum ini adalah 73 hari, dua jam dan 34 minit yang dicatatkan oleh dua profesor Tennessee iaitu Bruce Cantrell dan Jessica Fain di lokasi sama pada 2014.
Bagaimanapun, Dr Dituri tidak hanya berpuas hati memecahkan rekod itu sebaliknya merancang tinggal di rumah persinggahan itu sehingga 9 Jun ini untuk menyelesaikan Projek Neptune 100 iaitu mencapai 100 hari tinggal di bawah laut.
Misi menggabungkan penyelidikan perubatan, lautan dan pendidikan itu dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Sumber Marin.
“Rekod ini adalah lonjakan kecil dan saya sangat menghargainya. Saya berbesar hati untuk memilikinya, tetapi kita masih mempunyai lebih banyak kajian untuk dilakukan,” katanya.
Dalam tempoh tinggal di bawah air itu, beliau turut mengendalikan kelas dalam talian yang diikuti lebih 2,500 pelajar dan menyiarkan wawancara dari studio digitalnya di bawah laut.
Meskipun beliau mengatakan suka hidup di bawah lautan, namun terdapat kehidupan asal yang sangat dirinduinya termasuk melihat sinaran matahari.
“Saya sering melihat matahari terbit dan pergi ke gim setiap petang,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera laut selama 28 tahun sebelum bersara.
Agensi