DAP akan hapuskan Deklarasi Setapak?

Demi membentuk Kerajaan Perpaduan yang lebih harmoni

Oleh – Bakhtiar Omar


DAP akan hapuskan Deklarasi Setapak?

Semalam, Konvensyen Kerajaan Perpaduan julung kali dianjurkan di Dewan Merdeka, WTC KL bersama oleh semua parti politik dalam Kerajaan hari ini.



Banyak timbul perdebatan kalangan ahli serta penyokong Umno berkaitan konvensyen tersebut. Ada pro dan kontra dalam penghujahan baik buruk konvensyen yang dilakukan dalam sebuah dewan yang sinonim dengan perjuangan Umno.

Tidak kurang kata-kata sindiran dilontarkan terhadap Umno oleh mereka yang tidak senang dengan apa yang dilakukan kepimpinan Umno masa ini.

Begitu juga dengan musuh-musuh Umno yang terus-terusan mengkritik kehadiran pemimpin parti politik yang satu ketika ‘bermusuh’ dengan Umno.

Namun demikian, satu persoalan yang perlu diteliti dan diperhalusi oleh kepimpinan tertinggi parti – adakah masing-masing bersedia untuk melunturkan prinsip demi kelangsungan rakyat?



DAP PERLU KAJI SEMULA DEKLARASI SETAPAK

UMNO telah menunjukkan toleransi tahap tertinggi apabila ‘melanggar’ prinsip “NO PPBM, NO ANWAR, NO DAP” yang pernah dilaungkan dalam Dewan Merdeka dan disambut dengan gegak gempita ahli-ahli Umno sebelum PRU15 diadakan.

Menerima kerjasama dengan DAP bukanlah suatu perkara yang mudah diterima kebanyakan ahli Umno. Terlalu banyak ‘luka’ yang pernah dilakukan DAP terhadap Umno terutama prinsip ‘Malaysian Malaysia’.

Namun demikian, Umno masih menampakkan sikap berbesar hati demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan menjunjung Titah YDP Agong, Umno sedia berkerjasama.

Adakah DAP mampu untuk mengorbankan prinsip politik mereka demi kesejahteraan rakyat sebagaimana yang Umno lakukan?



Ini amat penting untuk DAP pertimbangkan sekiranya mereka berhasrat mahu memanjangkan kerjasama bersama UMNO di masa hadapan. Sudah pasti prejudis yang selama ini membayangi DAP kelamaan akan dihapuskan sekiranya parti itu mengambil langkah yang tepat.

Ini termasuk Deklarasi Setapak yang masih jadi pegangan DAP sejak 1967. Sudah tiba masanya, DAP perlu memikirkan mengenai prinsip parti tersebut. Banyak perubahan perlu dilakukan dalam parti sekiranya mereka masih berminat untuk meneruskan kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip ini lah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang. Berkenaan polisi berkaitan budaya dan pendidikan, deklarasi menekankan bahawa semangat Perlembagaan Persekutuan mestilah dihormati; sementera menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, hak untuk menggunakan bahasa lain juga mestilah dipertahankan.

Deklarasi Setapak juga memperkukuhkan komitmen DAP untuk membina negara yang kreatif dan hidup berharmoni, yang membuka jalan ke arah integrasi nasional dan bukan kehancuran negara. – DEKLARASI SETAPAK 1967



 

PRU16 BAKAL MENCABAR SEMUA PARTI POLITIK TANAHAIR

Tidak salah sekiranya kerjasama parti politik Kerajaan Perpaduan diteruskan pada PRU16, tetapi Umno perlu tampil dengan lebih baik untuk mengetuai Kerajaan selepas PRU16.

Atas kertas mudah dituliskan, namun secara realiti pelbagai kesukaran akan dihadapi memandangkan selera pengundi boleh bertukar mengikut selera tersendiri.

Semua ini turut bergantung kepada semua parti politik samada berani mengorbankan prinsip demi rakyat atau terus memegang prinsip demi kehormatan parti.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button