Ibu buntu cari dana buang ketumbuhan bahu kanan anak

Alor Setar: “Saya sedih lihat dia sering mengalirkan air mata mungkin menahan sakit akibat kanser sel yang dihidapinya,” kata Aida Harita Md Rodzi, 38 mengenai anaknya Nur Aifa Shamimi Azman, 20.

Menurutnya, Nur Aifa Shamimi perlu segera menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahu kanannya.

“Wang simpanan kami semakin berkurangan selepas suami ditamatkan kerja sebagai pengawal keselamatan dan kini anak sulung pula disahkan menghidap kanser sel.

“Sel kanser dia sangat agresif dan perlu dibuang segera tetapi saya tiada duit,” katanya.

Surirumah itu berkata, dia terpaksa menggunakan wang yang ada untuk kos ulang alik membawa Nur Aifa menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, dia risau melihat ketumbuhan di bahu anaknya itu semakin membesar dan menyakitkan.

“Selagi tidak dibuang, selagi itulah anak saya terpaksa menahan kesakitan akibat sel kanser yang membengkak dan kini mula menyerang bahagian badannya yang lain.

“Berat badannya juga susut daripada 45 kilogram (kg) kini tinggal 30 kg sahaja kerana tiada selera makan.

“Dia (Nur Aifa Shamimi) menjadi harapan keluarga untuk membantu menyara keluarga tetapi kini dia hanya mampu terlantar lesu di rumah.

“Saya buntu memikirkan untuk mencari wang kerana tidak bekerja dan suami pula dalam proses mencari kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan suami, Azizan Yob, 44, (bapa tiri) akan menemani Nur Aifa setiap kali mendapatkan rawatan di HSB atau HPP.

Malah katanya dia hanya mampu membeli susu tepung biasa kerana tidak mampu membeli susu formula khas yang disyorkan doktor untuk menggantikan nasi buat anaknya itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 014-6132738 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 1013041000147397.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal menziarahi pesakit ini hari ini menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur untuk Nur Aifa.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker