KDN tarik balik rayuan semakan kehakiman Jill Ireland kerana isu pentadbiran

PUTRAJAYA: Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.

“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.

“Justeru dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.

“Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat mengikut ‘case by case basis’ tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini

Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi keputusan Mahkamah Tinggi itu yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan dibuat Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan KDN pada 5 Disember 1986.

“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ supaya selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Di bawah arahan Kabinet pada Mei 1986, penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah dalam penerbitan mereka dengan syarat di luar kulit muka depan buku itu ditulis perkataan ‘Untuk agama Kristian.’

Kabinet mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei 1986 berdasarkan satu nota oleh Tun Abdul Ghafar Baba, yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, kepada KDN.

Pada 5 Disember 1986, satu arahan dikeluarkan KDN kepada semua penerbitan agama Kristian bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker