Wanita menangis beri keterangan terhadap bekas guru
Kota Kinabalu: Bekas pelajar yang menyaman gurunya menangis apabila memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini bahawa tindakannya untuk menyedarkan guru supaya tidak mengabaikan pendidikan anak murid mereka.
Siti Nafirah Siman, 23, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pertama kes saman terhadap bekas gurunya di hadapan Hakim Datuk Ismail Brahim.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud itu menjawab soalan tambahan peguamnya Shireen Sikayun pada hari pertama perbicaraan.
“Saya katakan apa yang berlaku seperti mimpi. Saya harap apa yang saya lakukan ini akan menyedarkan sesetengah guru bahawa mereka tidak sepatutnya mengabaikan dan memandang rendah golongan bawahan serta memberikan mereka tahap pendidikan sama seperti diberikan kepada golongan atasan, itu sahaja,” katanya dalam nada sebak.
Dalam saman difailkan pada 30 Oktober 2018, Siti Nafirah menamakan Mohd Jainal Jamrin (bekas gurunya) sebagai defendan pertama kes saman berkenaan.
Selain itu, Suid Hanapi (Pengetua SMK Taun Gusi); Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud; Pengarah Pendidikan Sabah; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia masing-masing dinamakan sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.
Siti Nafirah antara lain mendakwa guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris di Tingkatan 4 selama tujuh bulan pada 2015.
Ditanya kerugian dialami akibat kegagalan defendan pertama (Jainal) hadir mengajar, Siti Nafirah berkata, dia tidak mendapat pendidikan yang baik ketika itu.
Menurutnya, dia juga terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari sukatan pelajaran Tingkatan Empat semasa berada di Tingkatan Lima, selain berasa peluangnya untuk mendapat pekerjaan yang baik semakin berkurangan.
Katanya, buku kawalan kelas boleh membuktikan bahawa guru memasuki kelas untuk mengajar.
Peguam: Tolong beritahu mahkamah apa yang cikgu buat dengan buku kawalan kelas apabila mereka masuk untuk mengajar?
Siti Nafirah: Cikgu yang datang mengajar akan menandatangani buku sebelum sesi kelas tamat.
Peguam: Pernahkah anda melihat buku kawalan?
Siti Nafirah: Ya.
Peguam: Apakah yang anda perhatikan dengan buku kawalan itu dalam ruangan tanda tangan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris?
Siti Nafirah: Dari Januari hingga Februari 2015, Sir JJ (Jainal) sentiasa menandatanganinya sebelum meninggalkan kelas, tetapi pada penghujung Februari dan awal Mac sehingga seminggu sebelum peperiksaan akhir, ruang tanda tangan untuk Sir JJ kosong.
Dalam prosiding itu, Siti Nafirah berkata, buku kawalan bagi Kelas 4PD disimpan pihak sekolah dan permintaannya kepada defendan melalui peguamnya sehingga kini belum diterima.
Peguam: Bilakah anda menyedari bahawa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan untuk apa yang berlaku pada 2015?
Siti Nafirah: Ketika kami sedang membuat persiapan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Tingkatan Lima, saya dan rakan-rakan berbincang bahawa kami tertekan kerana terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari semula sukatan pelajaran Tingkatan Empat dengan sendiri dan pada masa sama kami terpaksa mengambil tuisyen tambahan.
Peguam: Mengapa anda tidak membuat aduan rasmi mengenai defendan pertama kepada defendan kedua?
Siti Nafirah: Saya tidak tahu macam mana nak buat surat rasmi untuk mengadu kepada pengetua.
Menjelas lanjut, Siti Nafirah mendedahkan pengetua memintanya dan rakan sekelas menulis esei memohon maaf serta menulis perkara baik mengenai Sir JJ supaya guru itu mengajar semula sedangkan kandungan itu tidak benar.
Peguam: Mengapa kamu menulis perkara yang tidak benar dalam karangan?
Siti Nafirah: Kami terdesak. Kami memerlukan guru Bahasa Inggeris kerana ketika itu kami akan menduduki peperiksaan akhir.
METRO