Klang, Shah Alam, Kuala Selangor alami gangguan bekalan air Isnin depan
Kuala Lumpur: Sebanyak 99 kawasan di Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin depan.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini berkata, ia susulan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.
Menurutnya, gangguan bekalan air akan bermula 9 pagi pada 22 Mei ini dan kerja pembaikan dijangka siap pada 3 pagi keesokkannya, manakala bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada 9 malam Rabu.
“Kerja pembaikan kecemasan membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter dan membabitkan kawasan agihan berskala besar. Oleh itu, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama,” kata kenyataan itu.
Air Selangor berkata, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat sebaik kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya kebocoran menjadi kritikal maka kerja kecemasan pembaikan paip pecah akan dimulakan lebih awal daripada tarikh dimaklumkan.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Justeru, pelanggan yang terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” katanya.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui aplikasi Air Selangor atau laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan melalui laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
METRO