‘Saya nak keadilan’ – Sam Bunkface
Petaling Jaya : Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shukran Yusof menetapkan tarikh 26 Jun ini untuk sebutan semula kes pindaan bayaran nafkah anak yang dituntut penyanyi, Sam Bunkface, 35, kepada bekas isterinya, Aida Azira Husin, 36.
Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Baharom ketika ditemui di perkarangan mahkamah menyatakan harapannya agar keadilan dapat diberikan dalam perkara ini.
“Saya nak mencari keadilan. Insya-Allah mahkamah yang mulia ini akan berikan keadilan. Itu saja. Selain daripada itu, anda kena tanya puan Aida (bekas isteri). Pergi tanya Aida. Saya tiada apa-apa lagi nak cakap.
“Kalau saya nak cakap sesuatu saya akan bagi kenyataan yang lebih besar. Kalau korang (kamu) nak tahu, Bunkface akan keluar album tak lama lagi,” katanya sambil berjenaka kepada media selepas prosiding selesai.
Sam yang ditemani isteri, Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi berkata, dia bersyukur kerana dapat berjumpa anaknya, Maleeq, 7.
Sementara itu, peguam syarie, Liyana Sihar yang mewakili Sam berkata, Aida tampil dengan beberapa isu yang disebut dalam perbicaraan hari ini.
“Dia sebut secara lisan dan keterangannya secara am iaitu anak tak dapat kehidupan yang baik. Mereka akan beritahu pada tarikh 26 Jun ini sama ada terdapat saksi dalam kes ini.
“Hakim bagi tiga tarikh. Untuk soalan-soalan balas saksi pun pada tarikh seterusnya. Itupun jika ada dan kalau tiada kes akan ditutup. Tapi dia kata ada dan mungkin ada,” katanya.
Liyana berkata, mereka tiada kepastian mungkin sekiranya saksi ada hal dan mereka mahu bawa saksi serta mahu menutup kes tanpa ada saksi semuanya bergantung kepada Aida.
“Itu yang dizahirkan kepada mahkamah , kita dengar yang itu saja,” katanya.
Dalam pada itu, Aida yang hadir bersama peguamnya enggan memberikan sebarang kenyataan dan bergegas menuju ke kenderaan sejurus selepas keluar dari ruang perbicaraan.
Terdahulu, Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi itu berhubung pindaan nafkah anak lelaki tunggal mereka, Maleeq.
Aida menerusi jawapan dalam prosiding berkata, sekiranya jumlah nafkah kurang daripada RM1,300, anaknya tidak mendapat kehidupan sempurna.
“Kalau dikurangkan, saya terpaksa kurangkan makanan dia (anak)..toys (permainan), aiskrim. Selain itu tempat tinggal juga kena selesa. Contohnya pendingin hawa yang saya kira membabitkan bil (perlu dibayar)” katanya.
Dia turut memaklumkan jumlah nafkah anak sebanyak RM1,300 yang diperoleh daripada Sam sebelum ini digunakan untuk membayar segala keperluan antaranya insurans, perubatan dan makanan.
Ditanya mengenai isu royalti, Aida berkata, dia tidak pasti sama ada bekas suaminya itu memperoleh bayaran atau tidak.
Sam dan Aida berkahwin pada 25 April 2015 namun bercerai pada Januari 2019.
METRO