SEA Kemboja Prestasi terburuk Malaysia di Sukan SEA

PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia sekali lagi berdepan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

Berakhirnya semua acara temasya di Kemboja, hari ini, pencapaian di pentas Sukan SEA bagi edisi ke-32 itu dianggap sebagai pencapaian terburuk selepas apa yang diraih kontinjen negara ketika temasya sama di Vietnam tahun lalu.

Sebelum ini, pemerhati sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pencapaian Malaysia di Hanoi sebagai yang terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959.



Ia susulan kontinjen negara mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa di Hanoi.

Malah, beliau juga sebelum ini turut berkata bahawa Sukan SEA Kemboja bakal menjadi pencapaian terburuk dan menjadi detik hitam buat kontinjen Malaysia sekiranya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ia berdasarkan kontinjen besar yang dihantar Malaysia pada temasya kali ini yang terdiri daripada 676 atlet walaupun sebahagian besarnya adalah atlet muda.



Berdasarkan jumlah kutipan pingat dalam tempoh 20 tahun terakhir penganjuran Sukan SEA iaitu sejak 2003 di Hanoi, kali ini juga menyaksikan kilauan emas paling sedikit diraih Malaysia.

Kontinjen negara mengumpul 34 pingat emas dengan skuad hoki padang lelaki dan wanita, atlet sukan tarian Sam Jee Lek dan atlet kick boxing, Nor Iman Hakim Rakib menyumbang emas terbaharu.

Selain gagal mencapai sasaran pingat, kedudukan keseluruhan Malaysia dalam senarai pungutan pingat juga dilihat lebih teruk berbanding edisi lalu.

Malaysia buat kali pertama jatuh ke tangga ketujuh berbanding kedudukan keenam yang diraih ketika di Hanoi dan perkara itu berlaku disebabkan tuan rumah Kemboja berada dalam kelompok atas.



Lebih mengecewakan apabila Malaysia sekali lagi berada di bawah Singapura yang meraih 51 emas dengan sebahagian besar pingat mereka hadir menerusi sukan renang.

Hanya menerusi dua acara sukan iaitu renang dan lawan pedang menjadi faktor mudah untuk Singapura berada di atas Malaysia.

Acara renang sahaja telah menyumbang 22 pingat emas kepada Singapura diikuti 6 pingat emas dari acara lawan pedang.



Pencapaian buruk yang diraih kontinjen negara itu dianggap berpunca daripada beberapa sukan yang Malaysia kuasai atau harapkan gagal menyerlah untuk menyumbang pingat emas.

Antaranya termasuk hoki dalam dewan, kriket, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga dengan beberapa acara yang dimenangi Malaysia dalam edisi sebelum ini tidak berjaya dipertahankan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button