Selepas SEA Kemboja, Piala Remaja Asia fokus seterusnya

Skuad hoki remaja tak sempat berehat

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki remaja lelaki kebangsaan yang masih segar dengan kilauan emas di Sukan SEA Kemboja 2023 perlu ‘mengenepikan’ seketika detik manis itu apabila perlu memberi fokus seterusnya di Piala Asia Remaja 2023 yang akan membuka tirainya dari 23 Mei hingga 1 Jun ini di Salalah, Oman.

Seramai 20 pemain akan berlepas ke Oman esok bagi menyertai kejohanan itu dengan enam pemain yang dibawa adalah pemain yang tidak berada di dalam Skuad Sukan SEA Kemboja 2023, baru-baru ini.

Berdasarkan undian Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan, Oman dan Uzbekistan dengan skuad negara dijadual membuka tirai kejohanan pada 23 Mei ini bertemu Uzbekistan.

Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 adalah aksi kelayakan ke Hoki Piala Dunia Remaja 2023 dengan tiga lagi slot bagi Benua Asia untuk ke Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur, menjadi taruhan selepas Malaysia terlebih dahulu layak beraksi selaku tuan rumah.

Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berkata, walaupun Malaysia sudah layak beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Kuala Lumpur 2023, kejohanan ini akan digunakan oleh pasukannya sebagai salah satu siri persiapan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 2023.

“Pasukan harus turun dengan persembahan yang baik pada kejohanan ini supaya kami barisan kejurulatihan, dapat mempersiapkan satu pasukan yang mantap pada Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023 nanti.

“Seramai 14 pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Sukan SEA baru-baru ini antara pemain yang mempunyai sedikit pengalaman beraksi di kejohanan yang berintensiti tinggi. Sementara enam yang saya tinggalkan untuk berlatih bersama skuad senior kebangsaan juga mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kejohanan ini juga antara platform bagi mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

“Barisan pemain ini juga adalah wajah-wajah yang bakal menggalas tanggungjawab besar untuk negara pada kempen Piala Dunia Remaja 2023. Saya berharap pengalaman dan pendedahan dimiliki pemain yang beraksi pada Sukan SEA tempoh hari akan digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini.

Katanya, momentum yang dipamerkan pada Sukan SEA harus dikekalkan untuk memastikan pasukan turun dengan persembahan yang terbaik pada Kejohanan Piala Remaja Asia 2023.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker