Bursa Malaysia bermula rendah awal dagangan hari ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.33 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.09 mata kepada 1,479.84 daripada 1,480.93 penutupan semalam.

Pasaran dibuka dengan mencatatkan penurunan sebanyak 1.40 mata pagi ini pada 1,479.53.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 264 berbalas 166, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,489 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.



Jumlah dagangan adalah sebanyak 628.44 juta unit bernilai RM268.24 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, walaupun pembukaan semula sempadan China dijangka dapat merangsang aktiviti ekonomi, pasaran saham masih dilihat tidak menentu.

Ini ialah kerana kebimbangan kemelesetan terus menjadi agenda utama memandangkan pengeluaran data pekerjaan AS yang kukuh semalaman mungkin boleh menjurus kepada kenaikan kadar faedah selanjutnya.

“Sementara itu, memandangkan dasar tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV) dijangka dirangka dalam Bajet 2023 akan datang, segmen solar dan EV mungkin mendapat daya tarikan.



“Selain itu, dengan adanya kebimbangan baharu mengenai situasi COVID-19 di China, minat belian telah kembali ke kaunter berkaitan sarung tangan dan aliran menaik harga saham boleh berlanjutan untuk sesi lain, manakala sektor teknologi mungkin bertukar lebih rendah ekoran kerugian semalaman di Wall Street ,” kata firma broker itu.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik tiga sen menjadi RM6.04, Digi menambah satu sen untuk mencatatkan harga RM3.87 dan Hong Leong Bank meningkat empat sen kepada RM20.38.

Manakala Maybank dan Public Bank tidak berubah pada RM8.78 dan RM4.30, dan Petronas Chemicals serta TNB kedua-duanya susut enam sen menjadi RM8.34 dan RM9.39.

Bagi saham aktif, syarikat yang mula disenaraikan di pasaran ACE iaitu DS Sigma melonjak 12.5 sen kepada 67.5 sen, Zen Tech dan Citaglobal masing-masing naik setengah sen kepada tiga sen dan 36 sen, dan Revenue Group meningkat 2.5 sen kepada 51 sen, manakala Hong Seng Consolidated turun 1.5 sen kepada 15.5 sen dan Top Glove lemah setengah sen menjadi 90.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 8.53 mata kepada 10,626.44, Indeks FBMT 100 berkurangan 9.23 mata menjadi 10,339.11 manakala Indeks FBM Emas Syariah mengecil 9.31 mata kepada 10,825.24.

Indeks FBM 70 pula susut 18.38 mata menjadi 13,037.72 dan Indeks FBM ACE turun 2.40 mata kepada 5,369.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 2.83 mata kepada 16,421.53 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.84 mata menjadi 181.02, manakala indeks Perladangan memperoleh 7.52 mata kepada 6,972.33 dan Indeks Tenaga meraih 2.57 mata kepada 776.45.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker