Newcastle sah kembali ke Liga Juara-Juara
Newcastle: Eddie Howe memuji pemain Newcastle yang ‘luar biasa’ apabila mereka layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas seri 0-0 menentang Leicester yang berdepan penyingkiran, hari ini.
Keputusan seri Liverpool yang menduduki tempat kelima dengan Aston Villa pada Sabtu lalu bermakna Newcastle hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka untuk memastikan tempat Liga Juara-Juara.
Menduduki tangga ketiga liga, Howe mencapai sasaran mereka di St James Park yang meraikan kejayaan itu.
“Ia amat melegakan dan malam yang menakjubkan. Anda perlu sentiasa berharap dan menyimpan impian. Tetapi kami tidak pernah merasakan sudah bersedia menduduki empat teratas.
“Selepas bersaing di kelompok penyingkiran musim lalu, ia adalah sama ada kami boleh bersatu semula dan menjadi pasukan yang lebih baik.
“Saya perlu memuji seluruh skuad kerana mereka perlu memberikan komitmen yang tinggi. Mereka sudah melihat hasil kerja mereka sendiri,” kata Howe.
Pencapaian luar biasa Newcastle daripada kelompok penyingkiran ke penamat empat teratas Liga Perdana yang hanya berlaku dalam tempoh 18 bulan adalah satu penghormatan kepada Howe dan kekuatan kewangan dimiliki pemilik kelab dari Arab Saudi.
The Magpies juga mara ke final domestik pertama sejak 1999 musim ini, tewas kepada Manchester United dalam di Piala Liga.
“Pencapaian barisan pemain ini bagi saya sangat luar biasa. Pujian saya tidak mencukupi untuk mereka.
“Saya hanya bersyukur kerana berpeluang menguruskan pasukan ini. Kami mencapai kejayaan yang hebat dan ia sangat memuaskan,” katanya.
AFP