BERSATU dapat kebenaran mulakan prosiding semakan kehakiman cabar beku akaun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan BERSATU untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan akaun bank parti itu dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa permohonan BERSATU untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bukan satu permohonan yang remeh dan menyusahkan.

Katanya, isu yang terdapat dalam permohonan berkenaan boleh didengar melalui semakan kehakiman.



Menerusi permohonan kebenaran itu, BERSATU mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.

BERSATU mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan BERSATU, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Ia mendakwa, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.

Sehubungan itu, ia memohon perisytiharan mahkamah terhadap SPRM bahawa suruhanjaya itu tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan meminta pegawai SPRM memulakan siasatan terhadap BERSATU, yang menyebabkan keluarnya perintah pembekuan itu.



Ia turut memohon perintah interim supaya Muhyiddin dibolehkan bergerak bebas dan membuat perjalanan ke luar negara tanpa sekatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button