Sedar selepas koma sedekad

Oleh – Syeikh Baran


Sedar selepas koma sedekad
SUAMI Sun Hongxia sedar semula selepas 10 tahun koma. FOTO Agensi/SCMP

Kesabaran seorang isteri dari wilayah Anhui di China berpenat lelah dan tanpa berputus asa menjaga suaminya yang koma akhirnya ‘terbayar’ apabila lelaki kesayangannya itu sedar selepas 10 tahun.

NDTV yang memetik South China Morning Post melaporkan Sun Hongxia enggan berputus asa terhadap suaminya yang berada dalam keadaan separuh sedar selepas serangan jantung pada 2014.



Jasa dan dedikasi serta sikap yang tidak mementingkan diri Hongxia membuahkan hasil apabila suaminya sedar selepas sedekad terlantar.

Hongxia sentiasa percaya suaminya akan sedar daripada koma dan terbukti hasil penjagaan terbaik dan penuh kasih sayang tanpa jemu selama bertahun-tahun membantu suaminya pulih.

Klip video pasangan itu yang muncul di media sosial di China menunjukkan Hongxia duduk di sebelah suaminya, yang sudah sedar di atas katil.

Air mata menitis di wajah si suami yang tidak dinamakan itu apabila si isteri memberitahunya mengenai kehidupan mereka sepanjang dia koma.



“Walaupun sangat letih, saya rasa segala-galanya akan sempurna semula sebaik sahaja keluarga kami disatukan semula,” kata Hongxia.

Hongxia mengimbas kembali kesukaran yang dilaluinya secara tiba-tiba apabila suaminya mengalami serangan jantung dan terus tidak sedarkan diri.

Wanita tabah itu berkata, dua anak mereka menjadi inspirasi untuknya supaya terus kuat dan tidak berputus asa.

“Saya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak kami. Saya sentiasa memikirkan suami, masa serta tenaga banyak dihabiskan untuk memastikan suami selesa walaupun semasa dalam keadaan tidak sedarkan diri.



“Koma yang berpanjangan menyebabkan beberapa masalah fizikal dan suami memerlukan trakeostomi untuk membantunya bernafas dan kateter kencing.

“Walaupun tanggungjawab ini sukar, tapi saya tidak pernah goyah,” katanya.

Bapa kepada suaminya yang berusia 84 tahun melahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan yang dilakukan Hongxia.

“Dia menantu saya, tetapi dia sudah melakukan lebih baik daripada anak perempuan kandung saya. Tiada sesiapa yang boleh menandingi semangatnya itu,” katanya.



Pengguna media sosial yang tersentuh dengan kisah itu menyatakan rasa kagum dan memberikan komen positif.

‘Itulah cinta sejati,’ tulis seseorang, manakala ada yang menulis ‘Lelaki koma itu berkahwin dengan malaikat.’

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button