Cawan teh emas AS$65,000 dicuri

Oleh – Syeikh Baran


Cawan teh emas AS$65,000 dicuri
Cawan teh emas 24 karat adalah salah satu peralatan minum teh, pinggan mangkuk dan artifak paling mahal yang dipamerkan di kedai Takashimaya Tokyo. – Foto AGENSI

Sebuah kedai serbaneka Jepun menemui cawan teh emas bernilai lebih 10 juta yen yang dicuri hari ini selepas ia dipamerkan dalam kotak yang tidak berkunci.

Cawan teh yang diperbuat daripada emas tulen 24 karat hilang dari kedai di rangkaian gedung utama Takashimaya, Tokyo, lokasi acara yang memaparkan pelbagai barangan emas untuk dijual.



Menurut jurucakap Takashimaya kepada AFP, cawan teh yang dicuri itu adalah antara yang paling mahal di antara lebih 1,000 peralatan teh, pinggan mangkuk dan artifak yang dipamerkan.
 

“Ia disimpan dalam kotak lutsinar yang tidak berkunci pada masa itu, jadi ia boleh dibawa keluar dengan mudah untuk pelanggan melihat dengan teliti,” katanya.

Media tempatan melaporkan, rakaman keselamatan menunjukkan seorang lelaki menyimpan cawan itu di dalam begnya dan melarikan diri dari tempat kejadian, dengan polis sedang mencari pelakunya.

Menurut jurucakap itu, pameran terbabit akan diteruskan tetapi Takashimaya akan mengukuhkan tahap keselamatannya.

Insiden itu berlaku beberapa bulan selepas pegawai Takashimaya berdepan kegagalan kek Krismasnya, yang dijual pada harga sekitar AS$40 (RM189.92) pada Disember.



Kebanyakan kek dengan ‘topping’ strawberi yang dijual dalam talian sepatutnya dihias rapi. Ia dihantar kepada pelanggan dalam keadaan hancur sehingga syarikat terpaksa memohon maaf secara terbuka dan menjanjikan pembayaran balik. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button