Kerjasama semua penting bina semula keyakinan industri pelancongan sejagat

Hebahkan !!!

BEIJING, 13 Dis — Wabak COVID-19 mencetuskan kesan buruk drastik yang tidak pernah dijangka sama sekali terhadap industri pelancongan dunia.

Setiausaha Agung Organisasi Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Zurab Pololikashvili berkata berikutan itu koordinasi dan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta pelbagai negara amat penting bagi membina semula keyakinan industri pelancongan sejagat.

Pololikashvili berkata demikian dalam wawancara eksklusif dengan media China baru-baru ini.

Katanya, Barometer Pelancongan Dunia UNWTO edisi Oktober yang menjadi pengukur aras pelancongan menunjukkan langkah kawalan pergerakan akibat COVID-19 dan penurunan keyakinan pengguna telah menjejaskan industri itu.

“Bilangan pelancong pada lapan bulan pertama tahun ini menurun 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, berkurangan 700 juta orang, sekali gus mengakibatkan sektor pelancongan antarabangsa mengalami kerugian kira-kira US$730 bilion (RM3 trilion),” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan berbanding dengan industri lain, sektor pelancongan sentiasa menunjukkan daya tahan dan kemampuan menyesuaikan diri yang kental.

Kebanyakan anggota kumpulan pakar UNWTO meramalkan industri pelancongan antarabangsa berkemungkinan meningkat semula pada suku ketiga tahun depan meskipun ada yang beranggapan kenaikan berkenaan hanya akan berlaku pada 2022.

Pololikashvili berkata, UNWTO juga komited untuk mendorong perkembangan pelancongan karbon rendah dan memfokuskan sumbangan kepada usaha memperjuangkan matlamat iklim sejagat.

Leave a Reply

%d bloggers like this: