Suspek simbah asid Faisal Halim direman 2 hari – KPN

 

Oleh – Syeikh Baran


Suspek simbah asid Faisal Halim direman 2 hari - KPN
Faisal Halim

Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara ditahan di Pandan Indah, di sini, malam tadi.

Suspek berusia 20-an itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata suspek ditahan di Pandan Jaya, Ampang, oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Saya sahkan penahanan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes serangan ini dan dia dikesan berdasarkan dapatan siasatan di lokasi kejadian di Petaling Jaya.

“Dia dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha yang digunakan semasa di lokasi kejadian petang semalam (Ahad).

“Pada masa ini biar pihak polis menjalankan siasatan bagi mendapatkan motif sebenar mengenai kejadian ini,” katanya kepada BH ketika meninjau Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024, di sini, hari ini.



Razarudin berkata pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian serangan terhadap Faizal mempunyai kaitan dengan serangan terhadap seorang lagi pemain bola sepak yang mewakili Terengganu FC, Akhyar Rashid, yang turut diserang dan disamun di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

“Kami (polis) berharap supaya mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kejadian ini sehingga siasatan sedang dilengkapkan.

“Pada masa ini Polis Kontinjen Selangor sudah merakam keterangan dari tiga individu termasuk Faizal selain akan memanggil beberapa lagi saksi bebas yang dijangka dilakukan hari ini,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kononnya kes serangan terhadap Faizal dan Akhyar mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.



“Seperti yang saya tegaskan mana-mana pihak untuk tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan dijalankan.

“Beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang semalam.



Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain sensasi kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button