Keluarga teman lelaki Bella mahu ambil tindakan mahkamah

Oleh – Syeikh Baran


Keluarga teman lelaki Bella mahu ambil tindakan mahkamah
Syahril Anuar ditemui di luar Kompleks Mahkamah Batu Pahat hari ini. NSTP/ Alias Abd Rani

Keluarga kepada lelaki yang didakwa membunuh teman wanitanya sebelum mayat dibuang di rumah sewa terbiar dekat Tongkang Pechah, bersedia mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa, Mila Sharmila Samsusah.

Peguam keluarga terbabit, Syahril Anuar Harun, berkata beliau dimaklumkan keluarga kepada tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, untuk mengambil tindakan itu demi membersihkan nama daripada fitnah dilemparkan terhadap mereka.



Beliau berkata, ini kerana kes bunuh ini hanya membabitkan tertuduh dengan Mila Sharmila atau dikenali sebagai Bella, 32, tanpa membabitkan keluarganya.

“Hasil daripada kes ini, kita dapati terdapat mereka (keluarga tertuduh) menjadi mangsa keadaan yang terkena tempias sedangkan perkara ini berlaku tanpa pengetahuan keluarga terbabit.

“Selama kes ini berlangsung, pihak keluarga tertuduh tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan, namun mereka terkena tempias dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

“Susulan itu, kami memberi nasihat dan juga berbincang dengan keluarga, kita mungkin mengambil tindakan sivil terhadap mereka yang membawa fitnah terhadap keluarga tertuduh ini,” katanya ditemui di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat, hari ini.



Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk sebutan izin bagi memindahkan kes bunuh membabitkan Mila Sharmila yang juga teman wanitanya pada Disember tahun lalu.

Turut kelihatan kedua-dua ibu bapa Mohammad Haikal yang mahu mendengar prosiding dihadapi tertuduh yang juga bekas posmen.

Ditanya sama ada tindakan itu ditujukan kepada keluarga Bella, Syahril Anuar berkata, beliau tidak menafikan perkara itu dan menjelaskan tindakan sivil diambil terhadap mereka terbabit susulan terlalu banyak isu serta fitnah dilemparkan di media sosial.

“Ia bukan perkara baharu (fitnah) malah sudah banyak kali berlaku. Tindakan ini adalah asbab untuk kita tunjukkan kepada mereka dan bukan dibuat secara suka-suka.



“Ada fitnah yang masih berlaku hingga sekarang, kita akan tengok mana yang relevan dan terpakai untuk diambil tindakan.

“Kita tak nak tuduh melulu namun kita nampak masih ada tuduhan dan fitnah menjurus kepada keluarga tertuduh,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button