Langkah ‘Sheri-Ton 2.0’ sudah bermula?

Oleh – Bakhtiar Omar


Langkah 'Sheri-Ton 2.0' sudah bermula?

Pertemuan antara Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba digembar-gemburkan sebagai pertemuan yang digeruni musuh politik mereka.



Malah, ada netizen memberi gelaran pertemuan tersebut sebagai ‘Langkah Sheri-Ton 2.0’.

Pertemuan yang diadakan itu dikatakan hanyalah sebagai proses pertama kembalinya kerjasama antara Mahathir-Muhyiddin selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 22 bulan bersama PH memenangi PRU14.

Walaupun pada ketika itu secara luaran nampak perseteruan berlaku antara Muhyiddin-Mahathir, ramai telah mentafsirkan perlakuan tersebut hanyalah sandiwara Mahathir bagi mengekang Anwar Ibrahim dari menuntut janji peralihan kuasa.

Selepas tidak bersama BERSATU, Mahathir mengorak langkah menubuhkan PEJUANG bersama Mukhriz Mahathir. Selepas mendapati PEJUANG tidak diterima baik orang Melayu, Mahathir menunggang pula Gabungan Tanah Air (GTA).



MAHATHIR KALAH DAN HILANG DEPOSITĀ 

Rekod politik Mahathir tercalar buat kali kedua bila kalah dalam PRU15 tetapi kali ini lebih buruk bila beliau hilang deposit buat pertama kali dalam sejarah politiknya.

Biarpun pertemuan terbaru Mahathir-Muhyiddin dikatakan berkisar kepada Proklamasi Melayu, semua sedar drama 2 veteran politik ini. Masing-masing mahu menjaga ‘tengkuk’ dan memastikan tidak dikenakan tindakan jika terbongkar ada berlaku salah laku semasa berkuasa.

Baru-baru ini pihak SPRM ada membuat siasatan terhadap individu yang dipercayai ada kaitan dengan Mahathir berkaitan salah laku serta penyelewengan wang negara ketika beliau memerintah.



Begitu juga dengan Muhyiddin yang didakwa di Mahkamah atas dakwaan penyelewengan wang semasa menjadi Perdana Menteri. Lebih memburukkan rekod, ada ahli keluarga Muhyiddin serta saudaranya turut disiasat oleh pihak berkuasa.

Kisah Proklamasi Melayu yang dicanangkan hanyalah satu alat untuk mengalih perhatian seluruh negara dari memerhatikan salah laku yang dilakukan.

Mengapa sekarang baru Mahathir berbicara mengenai Melayu? Sebab utama ialah PRN selain sebab-sebab lain yang boleh dikaitkan.

Semasa beliau berkuasa buat kali kedua pada 2018, ada atau tidak Mahathir membicarakan mengenai Melayu? Beliau pada ketika itu bersama Muhyiddin begitu bangga menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dengan menjatuhkan sebuah kerajaan Melayu.



Hari ini Mahathir dan Muhyiddin mahu bercakap soal Melayu? Muhyiddin pula, ketika menjadi Perdana Menteri tidak pernah menyentuh mengenai Melayu tetapi hari ini mahu menjuarai Melayu?

Sudah-sudahlah menjadi ‘batu api’ dan mencipta lebih banyak kebencian sesama kaum di Malaysia. Hakikatnya, Malaysia sebuah negara majmuk yang harmoni dan Perlembagaan telah menetapkan Hak Orang Melayu akan sentiasa dihormati kaum lain.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button