Dua beranak maut kereta terbabas
Dua beranak maut kereta terbabas
GUA MUSANG: Dua beranak maut apabila kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 73 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12.09 tengah malam itu, mangsa, Normardiah Taha, 45, yang memandu kereta dan ibunya, Fatimah Sa’aid, 67, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kejadian dipercayai apabila kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kemalangan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu.
“Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan serta melanggar satu tiang elektrik.
“Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan ibunya tercampak keluar dari kenderaan. Dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh hubungi bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-4742270.
Dua beranak maut kereta terbabas
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
BERSATU perlu terima hakikat PAS lebih dominan