PM ucap terima kepada UMNO

Oleh – Syeikh Baran


PM ucap terima kepada UMNO
Ahmad Zahid (empat dari kiri) ketika hadir menyempurnakan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus ucapan terima kasih kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana membantu memberi kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Perkara itu disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerima panggilan daripada Anwar sebelum Pengerusi Pakatan Harapan itu berlepas untuk lawatan ke luar negara sebentar tadi.



Ahmad Zahid berkata, penghargaan tersebut ditujukan kerana BN berjaya memenangi semua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di PRK Kuala Kubu Baharu.

“Yang paling beliau (Anwar) suka kerana meningkatnya sokongan pengundi-pengundi Melayu kepada calon Kerajaan Perpaduan.

“Semua PDM (yang diuruskan) UMNO di sana meningkat (jumlah undi). Ada lapan, kesemuanya meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di sini pada Ahad.

Terdahulu Ahmad Zahid menyempurnakan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini.



Pasa Sabtu, PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang disandang sejak 2013 selepas calonnya, Pang Sock Tao menang pada PRK kali ini.

Kemenangan Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Sock Tao memperoleh sebanyak 14,000 undi dengan majoriti 3,869.

Kemenangan itu juga menyaksikan wanita berusia 31 tahun berkenaan menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PN, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Nyau Ke Xin.



Khairul Azhari mendapat 10,131, Hafizah (152) dan Ke Xin (188).

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button