F1: Verstappen menyamai rekod Vettel
F1: Verstappen menyamai rekod Vettel
ZANDVOORT – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner percaya pelumba utama pasukan, Max Verstappen cukup ‘kebal’ pada musim ini dengan menjuarai sembilan Grand Prix (GP) berturut-turut pada GP Belanda kelmarin.
Pada saingan di Litar Antarabangsa Zandvoort itu, Verstappen dilihat tidak mempunyai masalah untuk mendominasi perlumbaan dengan wakil Aston Martin, Fernando Alonso di kedudukan kedua dan jaguh Alpha Tauri, Pierre Gasly melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan itu menyaksikan Verstappen menyamai rekod yang dilakukan oleh bekas juara dunia, Sebastian Vettel dengan sembilan kemenangan GP berturut-turut semusim selain mengukuhkan statusnya selaku pendahulu keseluruhan ketika ini.
Kata Horner, apa yang dipamerkan oleh pelumba berusia 25 tahun itu ketika ini sangat luar biasa dan tidak keterlaluan juara dunia dua kali itu berada pada puncak kariernya.
“Saya rasa Verstappen kini cukup kebal di atas litar dan tiada pelumba yang boleh menewaskannya buat masa sekarang. Apa yang dia lakukan bersama jentera kami cukup memukau dan sukar untuk dilakukan oleh pesaing lain.
“Secara jujur, saya tidak sangka kita dapat mengulangi sejarah apabila membantu Verstappen menang sembilan kali berturut-turut selepas melakukan perkara yang sama sewaktu Vettel mewakili pasukan ini 10 tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Verstappen mahu mendedikasikan kejayaannya buat ratusan ribu penyokong setia yang hadir ke litar itu untuk memastikan sejarah baharu dapat dilakar.
“Saya sangat menghargai sokongan penyokong tempatan sebelum saingan bermula lagi dan lebih terharu apabila lagu kebangsaan dimainkan. Walaupun cuaca tidak menentu, mereka setia menunggu ke penghujung perlumbaan,” katanya. – AGENSI
F1: Verstappen menyamai rekod Vettel
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :