Perikatan Nasional masih gagal ambil alih Putrajaya
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Setakat Disember 2023, Perikatan Nasional masih gagal mengambil alih Putrajaya sebagaimana yang seringkali mereka sebarkan kepada para penyokong.
Bermula dengan jangkaan seawal Ogos 2023, Kerajaan Perpaduan akan tumbang, Perikatan Nasional sebaliknya kehilangan sokongan di Parlimen.
Keyakinan Perikatan Nasional untuk mengambil alih tampuk Putrajaya semakin kuat selepas mereka memenangi PRK Kemaman yang menampilkan Menteri Besar Terengganu sebagai calon.
Menang dengan majoriti yang lebih besar membuat para penyokong Perikatan Nasional yakin kerajaan akan berubah dalam tempoh terdekat.
Malah, segelintir penyokong sudah menamakan Dr Samsuri sebagai bakal Perdana Menteri Ke-11 bagi menggantikan Anwar Ibrahim.
Hakikat sebenar yang perlu penyokong Perikatan Nasional telan ialah BERSATU sedang menghadapi krisis dalaman manakala ada pergeseran antara pimpinan BERSATU dan PAS yang cuba disembunyikan, namun segalanya seakan sudah terhidu.
Berdasarkan kiraan jumlah kerusi Parlimen dan DUN antara PAS dan BERSATU, sudah pasti jurang perbezaan amat ketara dan ini seharusnya menjadi kayu pengukur untuk kedua-dua parti akan kekuatan mereka.
Ini yang menjadi kekhuatiran BERSATU apabila PAS menunjukkan kekuatan sebenar mereka di pelbagai peringkat. Berbeza dengan kenyataan Presiden BERSATU yang menyatakan PAS sudah tepu sokongan tetapi kembali mendapat sokongan kerana bekerjasama dengan BERSATU.
MAMPUKAH BERSATU BERTAHAN TANPA PAS?
Apa akan berlaku sekiranya PAS menarik diri dari Perikatan Nasional? Mampukah PN mengambil alih kerajaan dengan hanya bergantung kepada GERAKAN sahaja?
Sepertimana yang diketahui, GERAKAN hanyalah sebuah parti yang ‘melukut di tepi gantang’ dan bergantung nasib kepada jentera BERSATU dan PAS.
Apa gunanya Perikatan Nasional ‘menyimpan’ GERAKAN yang dilihat sebagai liabiliti kepada Perikatan Nasional yang lebih kearah parti Melayu?
Kembali kepada persoalan sebenar, mengapa sehingga sekarang Perikatan Nasional gagal ambil alih Putrajaya? bukankah mereka yakin sudah mempunyai jumlah yang mencukupi untuk berbuat demikian?
Atau, Perikatan Nasional menunggu gerakan sulit yang dispekulasikan kebelakangan ini? Dikatakan ada gerakan ‘sulit’ memujuk Ahli Parlimen Umno, BN untuk mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional dan gerakan tersebut didalangi 2 individu. Benarkah?