SENIMAN minta KKMM keluarkan garis panduan
Oleh – Pena Merah
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengesyorkan Kementerian Digital mengeluarkan garis panduan pengendalian siaran langsung atau ‘live’ dalam media sosial termasuk saluran podcast agar isu sensitif tidak sewenang-wenangnya menjadi bahan mainan pihak yang terbabit dalam program itu.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, langkah itu penting bagi membendung isu ‘cakap lepas’ menyentuh soal agama, kaum dan institusi diraja demi menjamin keharmonian masyarakat.
“Sesi ‘live’ atau podcast sudah jadi perkara yang dinormalisasikan dalam masyarakat sekarang. Tetapi, pada masa sama, perlu ada garis panduan Kementerian Digital.
“Kalau tiada, itu yang cakap sedap mulut sahaja. Jadi, apabila ada garis panduan, perkara ini boleh dielak. Kalau tidak dibendung, akan lebih banyak kes sama berlaku selepas ini.
“SENIMAN sentiasa menyokong hasrat Menteri Digital jika hendak perkenal garis panduan supaya masalah ini mampu diatasi dan dielak daripada lebih banyak terjadi,” katanya kepada BH Online.
Zed mengulas kontroversi dicetuskan pelakon ‘senior’, Datuk Rosyam Nor yang menyifatkan pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang rata-rata meninggalkan isteri di negara asal demi mencari rezeki di Malaysia.
Rakaman sesi podcast atau audio siar berjudul Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke akaun TikTok Suhan Channel itu, pantas tular dan hangat diperkatakan pelayar internet.
Selepas diasak pelbagai pihak sehingga mendapat perhatian agamawan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Rosyam tampil membuat permohonan maaf melalui hantaran video di Instagram (IG), kelmarin.
Melihatkan jumlah pengendali siaran langsung podcast yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, Zed berkata, pihak terbabit perlu bijak dan berhati-hati ketika bersiaran.
“Memang apabila bercakap, seseorang akan teruja dengan topik dibincangkan. Tetapi, kadang-kadang terlupa dengan hal sensitif seperti soal agama.
“Kadang-kadang ada yang teruja untuk beri cadangan ‘luar kotak’. Tetapi kita perlu dilihat lebih bijak dan bukan sebaliknya. Isu yang dibincangkan memang umum, tetapi disebabkan kita negara Islam dan ada adab, maka, kita perlu berwaspada.
“Mungkin perkara atau idea negatif yang dilontar ketika ‘live’ boleh bagi contoh tidak baik kepada generasi baharu yang menontonnya. Sekali lagi diingatkan, usah usik isu sensitif ketika ‘live’,” katanya.
Zed berkata, tidak salah mempromosikan saluran podcast dengan gimik kontroversi, asalkan tidak menyentuh atau mempermainkan isu agama, kaum dan institusi diraja.
Tambahnya, selebriti yang sering menjadi tumpuan ramai perlu berhati-hati dalam memberi pandangan atau kenyataan selain mematuhi etika berkomunikasi dengan baik.
Kelmarin, Rosyam, 57, tampil membuat permohonan maaf atas kontroversi dicetus.
Rosyam atau nama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin, 57, tidak menyangka kenyataan itu akan menjadi tular sehingga disalah erti dan mendapat pelbagai reaksi.
“Kecoh satu dua hari ini pasal isu rumah pelacuran kononnya saya ada buat kenyataan. Apa-apa hal pun saya minta maaf dahulu sebab tidak sangka perkara ini jadi viral,” katanya melalui hantaran Instagram (IG).
Rosyam meminta orang ramai menonton video penuh yang dimuat naik di akaun TikTok Suhan Channel dan membuat penilaian sewajarnya.
“Itu sebenarnya untuk program podcast di Suhan Channel. Itu adalah perbincangan, jadi saya fikir, baik semua orang, kalau ada masa, pergi ke Suhan Channel tengok keseluruhan video apa yang dibincangkan.
“Terima kasih peka dengan keadaan. Sekali lagi saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku,” katanya.
Sumber – Berita Harian