8TV mencapai 81 peratus penonton berbangsa Cina

Oleh : Pena Merah

 

8TV mencapai 81 peratus penonton berbangsa Cina

KUALA LUMPUR: Sejak beroperasi dua dekad lalu, saluran bahasa Mandarin, 8TV terus menempa kejayaan membanggakan apabila meraih 81 peratus daripada anggaran enam juta penonton Cina di Malaysia, tahun lalu.



Ketua Pegawai Operasi (COO) 8TV, Kevin Foo, berkata saluran itu berjaya mendominasi tayangan di platform Astro, membuktikan 8TV menjadi pilihan biarpun di stesen televisyen (TV) berbayar.

“Mengikut sumber penarafan Nielsen, sepanjang tahun lalu, 8TV mencapai 81 peratus penonton berbangsa Cina.

“Di Malaysia, kita ada antara 5 hingga 6 juta penonton Cina, maka apabila kami cecah 81 peratus, bermakna 8TV sudah mencapai 4.4 juta penonton Cina.

“8TV muncul saluran paling banyak ditonton audiens Cina berusia 15 tahun sehingga 39 tahun dan saluran ini terus mendominasi platform Astro.



“Kami berharap dapat mengekalkan jumlah penonton atau mungkin merekod kadar lebih tinggi tahun ini,” katanya pada Malam Gala Ulang Tahun Ke-20 8TV di Petaling Jaya, Isnin lalu.

Saluran 8TV di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) mula beroperasi pada 2004.

Foo berkata, pada 2021 hingga 2022 iaitu ketika COVID-19, penonton 8TV lebih tinggi berikutan rakyat Malaysia duduk rumah dan banyak menonton TV.



“Kami fikir hanya mampu kekal jumlah tontonan pada 2023, namun rekod tontonan tahun lalu sedikit bertambah.

“Banyak audiens menonton 8TV menerusi My Freeview TV, bermakna penonton tetap pilih 8TV melalui platform Astro.

“Sehubungan itu, kami tidak akan berhenti mengutamakan kandungan asli dan inovatif dalam menerbitkan program berkualiti,” katanya.

Menginjak usia 20 tahun, 8TV mahu sentiasa memperbaiki dan mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan genre program demi cita rasa penonton.



Sehubungan itu, Foo berkata, 8TV bekerjasama penerbit luar negara seperti Taiwan dan Singapura untuk menyajikan program berkualiti.

Selepas Mr Player, 8TV bakal meneruskan kerjasama dengan stesen TV Taiwan, Sanlih E-Television (SET) untuk edisi khas program realiti Yes Night Market.

Program itu menampilkan pengacara popular Taiwan iaitu Lotus Wang, George Hu dan Wills Sia yang meneroka operasi penjaja di pasar malam.

Trio itu dipapar mempelajari menu baharu serta mencari formula dan strategi untuk mencapai sasaran pendapatan dalam saingan yang sengit di pasar malam dikunjungi.



Selain itu, tambah Foo, 8TV bekerjasama dengan syarikat produksi Singapura untuk menerbitkan drama.

“Tahun ini, kami lebih fokus bekerjasama dengan negara lain. Tahun lalu, kami berkolaborasi dengan saluran TV di Taiwan. Apabila kita bekerjasama, kita boleh masukkan elemen Malaysia dan boleh ditonton di luar negara.

“Kandungan kita boleh menjelajah negara luar seperti Taiwan, Singapura, Brunei dan beberapa wilayah di China.

“Misalnya, Mr Player sangat terkenal di China. Penggambaran dibuat di Ipoh, Melaka dan Genting Highlands, jadi, ia mempromosikan destinasi pelancongan kita,” katanya.



8TV turut mengumumkan kandungan menarik 2024, termasuk musim kelima Family Singing Show, musim kedua The Greatest of Us dan musim ketiga Girls Day Out yang dijangka menemui penonton 8TV pada separuh kedua, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPTN dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof, berkata sepanjang 20 tahun beroperasi, 8TV terus menjadi pilihan utama penonton Malaysia dengan memberi maklumat terkini dan kandungan program berkualiti.

“Kami teruja dan berbesar hati kerana 8TV menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian jutaan keluarga di Malaysia dan dianggap teman setia mereka selama ini.

“Kepercayaan dan sokongan penonton setia 8TV membuatkan stesen TV ini berjaya mengekalkan kedudukan sebagai saluran Mandarin nombor satu di Malaysia,” katanya.

Ulang tahun ke-20 8TV diraikan pada malam gala yang menghimpunkan pengurusan kanan MPB, warga kerja 8TV, penaja dan hampir 100 selebriti.

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; COO Media Prima OMNIA, Stephanie Wong; COO TV3 dan Tonton, MPTN dan Ketua Pegawai Pemasaran MPB, Amir Rasyidi Johari.

Malam gala itu dikendalikan trio pengacara iaitu Owen Yap, Natalie Ng dan Fiza Sabjahan.

Acara turut dimeriahkan dengan persembahan menarik, terutama kemunculan juara Malaysian Idol (MI), Jaclyn Victor dan penyanyi berbakat besar, Jeryl Lee.

Selain barisan pengacara dan penyampai berita 8TV dan penyampai radio Eight FM, majlis itu dihadiri selebriti popular seperti Debbie Goh, Jojo Goh, Wayne Chua, Jordan Voon, Coby Chong, Henley Hii, Emily Chan, Jordan Sen dan ramai lagi.

Turut mengubat rindu pada malam gala itu adalah bekas pengacara 8TV seperti Dylan Leong, Baki Zainal, Wind Lee, Chrystina Wong dan Pauline Tan.

Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button