Dia tak ada duit, saya pergi cari duit dan bukan cabut lari – Zarina

 

Oleh : Pena Merah

Dia tak ada duit, saya pergi cari duit dan bukan cabut lari - Zarina
Zarina Zainuddin

KUALA LUMPUR : Pelakon, Zarina Zainuddin, mendedahkan, meskipun dia bergelar isteri kedua namun dia juga sama berusaha membantu keluarga mencari nafkah terutama apabila suaminya tidak lagi mempunyai kudrat untuk menggalas tugas tersebut.

Menurut Zarina, meskipun masyarakat sering menyalah anggap dan memandang serong terhadap wanita bergelar isteri kedua, dia tidak kisah asalkan dapat membantu keluarga walaupun suaminya kini tidak kaya raya seperti dahulu.



“Dulu suami saya kaya raya. Sekarang tidak lagi, dia pun tak ada duit dah. Tapi saya tetap ada untuk dia, begitu juga dengan isteri pertamanya. Tetap setia bersama.

“Kalau tak makan kami cari duit sama-sama. Suami cakap, dia dah tak larat dah hingga minta saya carikan akauntan untuk uruskan akaun syarikat.

“Namun, dia tetap juga datang pejabat tolong saya. Dia tetap ada untuk saya dan keluarga. Orang nak benci isteri nombor dua, nak cakap perampas ke penyondol ke, suka hati andalah. Tapi saya ini isteri yang tetap ada dan setia sampai ke tua bersamanya.

“Dia tak ada duit, saya pergi cari duit. Bukan dia tak ada duit saya cabut lari,”katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.



Selain itu, Zarina juga percaya bahawa dia perlu menghargai individu yang pernah membantu diri nya sewaktu melalui zaman kesusahan.

“Hargai orang yang ada masa kita susah dulu. Saya dah tak kisahlah susah ke nanti saya bersedia saja, okay saja.

“Orang nak kata apa, pergi matilah. Orang baik, sepuluh kali saya baik. Kalau orang buat tak elok dengan saya, Allah ada . Allah saja balas, kita diam saja,”katanya.

Dalam pada itu, jelas pelakon ini, sebagai sebuah keluarga, dia tidak menolak tentu ada ketika wujud salah faham dan pergaduhan antara satu sama lain.



Bagaimanapun, katanya ia adalah lumrah kehidupan sama seperti mana-mana keluarga lain.

“Kami bukan tak pernah bertekak. Kami pun sama macam orang lain kadang ada saja yang tak kena. Tapi kami selalu muhasabah, inilah keluarga. Bila kau sayang kau ambik berat.

“Benda kecil, telan sajalah sebab hidup saya bersama mereka susah senang ada bersama,”katanya.

Untuk info, Zarina mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Datuk Seri Raihan Wan Jaafar sekitar 30 tahun lalu.



Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang anak lelaki iaitu sepasang kembar termasuk Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil).

SUMBER – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button