Naqiu serik

Oleh Pena Merah

Naqiu serik
Naqiu dan Anis Fathiah pada taklimat media Konsert After Hours With Hetty Koes Endang di ibu negara, semalam. Foto NSTP Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi Naqiu serik berdepan sikap penganjur acara yang didakwa memberi harapan palsu untuk mementaskan konsert kumpulan Boboy, namun, kemudian, senyap.

Naqiu atau nama sebenar, Wan Naqiudin Mohd Najib, 38, mendakwa apa yang lebih dikesali, individu terbabit sengaja menggunakan nama kumpulan Boboy, semata-mata untuk mendekati dirinya.

“Saya pernah didekati individu yang mahu menganjurkan konsert kumpulan Boboy, namun, ternyata, hanya janji palsu. Dia cakap mahu anjur konsert Boboy kerana dengan cara itu, dia boleh rapat dengan saya dan berjumpa selalu.



“Kali pertama kami berjumpa adalah pada akhir 2021, selalunya, di luar negara. Sejak dari itu, kami sudah lebih 10 kali jumpa. Namun, konsert yang dijanjikan tak nampak bayang.

“Kalau dia hendak anjur konsert Naqiu, saya akan serah kepada pihak pengurusan untuk berbincang lanjut. Namun, disebabkan dia mahu anjurkan konsert Boboy, jadi saya perlu ambil tahu kerana Boboy amat berharga buat saya.

Naqiu serik
Naqiu dakwa apa yang lebih dikesali, individu yang berjanji mahu mementaskan konsert, sengaja menggunakan nama kumpulan Boboy, semata-mata untuk mendekati dirinya. Foto IG Naqiu

“Saya tidak letak syarat bukan-bukan. Saya cuma hendak dia bayar ikut harga setimpal dan sediakan kelengkapan terbaik,” katanya pada majlis sidang santai dan taklimat media acara After Hours With Hetty Koes Endang di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamid yang juga penganjur konsert bintang legenda dari Indonesia itu.



Naqiu yang juga bekas finalis All Stars Gegar Vaganza (ASGV) bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit demi menjaga air mukanya.

“Terus-terang, saya tidak puas hati dengannya. Namun, saya fikir, tidak perlulah hendak dedah identitinya. Walaupun dia ada buat hal dengan saya, namun, saya tak mahu malukan dia.

“Saya dedahkan perkara ini supaya peminat tahu kenapa sampai sekarang Boboy masih belum mementaskan konsert seperti kumpulan lain,” katanya.

Biarpun berdepan pengalaman buruk, namun, hasrat Naqiu mementaskan konsert Boboy masih belum terkubur.



“Saya masih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat menganjurkan konsert Boboy. Namun, bukan dengan indvidu yang saya maksudkan tadi. Saya sudah tawar hati dengannya,” katanya.

Pada Konsert After Hours With Hetty Koes Endang yang dianjurkan di Grand Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor (SACC), pada 24 Februari depan, Naqiu tampil sebagai penyanyi jemputan.

SUMBER – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button