Debaran 18 Januari, Perikatan Nasional kembali ke Putrajaya?
Oleh – Bakhtiar Omar
Perikatan Nasional akan kembali ke Putrajaya menjelang 18 Januari 2024? Ini antara tarikh yang diuar-uarkan oleh kebanyakan penyokong Perikatan Nasional dan penyokong Tun Mahathir.
Selepas tarikh-tarikh ramalan sebelum ini masih gagal menukar kerajaan, tarikh 18 Januari dianggap paling kritikal bagi penentuan samada berjaya atau tidak semua gerakan menumbangkan kerajaan sebelum ini.
Dalam masa sama, Perikatan Nasional sibuk membicarakan mengenai keresahan rakyat yang berdepan dengan masalah ekonomi, tetapi ternyata merekalah puncanya.
Apabila kerajaan diganggu-gugat dengan pelbagai gerakan bagi menjatuhkannya, sudah pasti ia merencatkan kemasukan pelabur serta aliran ekonomi negara.
PERIKATAN NASIONAL TIDAK BELAJAR DARI SEJARAHÂ
Seharusnya gabungan Perikatan Nasional baik BERSATU, PAS mahupun GERAKAN sudah belajar dari sejarah pertukaran kerajaan pada 2018 yang menyebabkan banyak sektor ekonomi mengalami penurunan drastik.
Ini kerana para pelabur tidak yakin dengan kemampuan kerajaan yang dibentuk selepas PRU14 walaupun yang mengetuainya ialah Mahathir.
Keyakinan pelabur terhadap dasar Barisan Nasional yang memerintah selama 60 tahun tidak dapat dipertahankan sebaik kerajaan bertukar.
Lebih memburukkan keadaan, sekali lagi kerajaan bertukar pada 2020 dan kali ketiga pada 2021. Apa yang boleh Perikatan Nasional belajar dari semua sejarah ini?
Setiap kali pertukaran kerajaan berlaku, ekonomi akan kembali ke ‘petak nombor 1’ dan mula merangkak kembali untuk dibina.
Mengapa Perikatan Nasional tidak mencari jalan menjadi pembangkang yang efektif dalam kerajaan untuk sepenggal?
Rasanya ramai tahu sebab mengapa para pemimpin serta penyokong Perikatan Nasional begitu ‘gigih’ berusaha untuk menukar kerajaan.
APA AKAN BERLAKU JIKA BERTUKAR KERAJAAN SEKALI LAGI?
Adakah Perikatan Nasional mampu memberi jaminan ekonomi rakyat akan kembali pulih dalam tempoh 100 hari jika mereka berjaya menukar kerajaan?
Apa jaminan yang mampu Perikatan Nasional berikan kepada rakyat bahawa semua masalah yang diperkatakan mereka selama ini akan selesai dalam tempoh setahun?
Tidak akan ada perebutan jawatan dalam membentuk kabinet dalam Perikatan Nasional? bagaimana dengan GERAKAN yang langsung tidak mempunyai kerusi di Parlimen? Adakah ramai dari GERAKAN akan dilantik sebagai Senator bagi mengimbangi pembahagian kuasa?
Siapa calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional? Jika diukur dari kekuatan Parlimen, nampaknya PAS mendahului BERSATU. Begitu juga di peringkat negeri di mana PAS menguasai kerusi DUN di kebanyakan negeri berbanding BERSATU.
RUU 355 AKAN DI BAWA PAS KE PARLIMEN UNTUK DILULUSKAN SEKIRANYA PERIKATAN NASIONAL MEMERINTAH?
Ini paling menarik sekali kerana telah lama diperjuangkan PAS. Sesuai dengan nama PAS itu sendiri – Parti Islam Se-Malaysia, sudah tentu menjadi harapan para penyokong PAS untuk melihat Undang-Undang Islam ditegakkan.
Perjuangan sekian lama ini perlu dilunaskan PAS dengan segera jika mereka berjaya menukar kerajaan bersama Perikatan Nasional pada 18 Januari ini.
Seeloknya PAS turut pertimbangkan untuk menutup kilang-kilang pembuatan arak serta mengecilkan atau terus menutup operasi kedai judi seluruh negara selaras dengan perjuangan parti.
BERSATU dijangkakan akan memberi sokongan penuh sekiranya itu kehendak PAS memandangkan PAS kini mempunyai penyokong yang jauh lebih besar dari BERSATU.
Apa juga keadaan, semua rakyat Malaysia menanti debaran 18 Januari 2024.