Daim masuk hospital

Oleh – Syeikh Baran


Daim masuk hospital

Proses merakam keterangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangguhkan.



Menurut sumber SPRM, agensi itu sepatutnya merakam keterangan Daim hari ini berkaitan siasatan terhadap ahli perniagaan itu.

“Tetapi temu bual perlu dijadual semula memandangkan Daim dimasukkan ke hospital.

“Kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital minggu lalu, jadi kami kena tetapkan tarikh baharu,” lapor portal berita, FMT hari ini.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengapa Daim diambil keterangan setakat ini.



Rabu lalu, isteri Daim, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin Daim hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.

SPRM berkata, ketiga-tiga individu itu dirakam keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Daim.

Ia membabitkan satu notis diserahkan kepada Tun Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023, manakala notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

“Sebagaimana yang dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Daim ini bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora,” katanya.



Daim dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan di mahkamah untuk semakan kehakiman mencabar siasatan tersebut. Mereka mendakwa siasatan dibuat tidak mengikut perlembagaan.

Sumber – UTUSAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button