Ketukan misteri kini melanda Perlis
Oleh – Syeikh Baran
Gangguan ketukan misteri kini berlaku di sekitar Batu Bertangkup, Chuping, di sini pula apabila penduduk di hampir 30 rumah mendakwa mereka mengalami gangguan berkenaan sekitar jam 2.20 pagi hingga 4.30 pagi, Jumaat lalu.
Seorang penduduk, Fatin Adilla Rosli, 31, berkata, kejadian ketukan misteri itu berlaku sekitar jam 2.30 pagi di kediamannya di kampung itu.
“Sebelum itu, saya baharu sahaja pulang dari Kuala Perlis bertemu dengan kawan dan sedang berehat sementara menunggu untuk mandi.
“Bapa pula sudah pun masuk tidur manakala ibu menemani saya berehat di ruang tamu. Ketika saya menguruskan keperluan ibu, tiba-tiba terdengar ketukan kuat di tingkap bilik saya sebanyak dua kali. Ia sekejap sahaja tidak sampai dua minit.
“Tidak mahu mengambil risiko dan takut untuk membuka tingkap, saya membiarkan sahaja kerana gangguan itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Zalghafari Mohd Zainuddin, 25, mendakwa gangguan ketukan misteri itu berlaku di kediaman keluarganya sekitar jam 2.45 pagi.
“Saya sampai di rumah sekitar jam 2 pagi kerana sebelum itu keluar atas urusan peribadi dan ketika saya baharu sahaja hendak tidur, terdengar ketukan pada tingkap bilik.
“Ketukan kuat itu berlaku sebanyak tiga kali dan menyangka ada pencuri yang cuba untuk memasuki rumah, saya segera menyelak langsir yang menutupi jendela itu namun tiada sebarang kelibat pun ditemui di luar rumah,” katanya.
Mohammad Zalghafari turut keluar dari rumahnya untuk meninjau sekiranya ada kelibat pencuri yang cuba memasuki kediamannya namun tiada sesiapa pun ditemui sekitar rumahnya itu.
Kedua-dua penduduk itu kemudian dimaklumkan menerusi aplikasi whatsapp kampung berkenaan mengenai banyak lagi rumah di kampung itu yang turut mengalami gangguan ketukan misteri itu.
Sebagai langkah keselamatan, penduduk meminta bantuan polis untuk meronda sekitar kawasan kampung dalam memastikan tiada berlaku sebarang kejadian seperti kecurian dan sebagainya.
Difahamkan gangguan berkenaan turut berlaku hingga ke Arau.
Media baru-baru ini, melaporkan ketukan misteri berlaku Kampung Kepis Ulu, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sumber – Berita Harian