Suka melayan punca wanita terjerat Love Scam

Oleh – Syeikh Baran


Suka melayan punca wanita terjerat Love Scam

Sifat suka melayan individu tidak dikenali menjadi antara punca utama mengapa ramai wanita berusia mudah terjerat dengan ‘Love Scam’ walaupun sudah banyak laporan didedahkan di akhbar.



Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata kebanyakan wanita yang terjerat itu datang daripada kumpulan wanita kesunyian atau tiada pasangan hingga mudah terpedaya dengan kata-kata manis diucapkan oleh scammer.

Katanya, sepatutnya wanita itu perlu bertegas dalam diri sendiri untuk tidak melayan mana-mana panggilan yang tidak dikenali atau berkaitan dengan dirinya dan sedar bahawa ia akan menjerumuskan diri dalam ‘Love Scam’ ini.

“Kebiasaannya scammer ini sudah ada modus operandi di mana mereka akan melakukan kajian untuk menyasarkan sasaran wanita berusia yang memiliki banyak sumber kewangan.

“Mereka akan bermain dengan emosi wanita itu dan apabila menyedari perbualan itu semakin panjang, mereka akan memulakan langkah menggoda dan sebagainya,” katanya kepada BH hari ini.



Semalam, BH melaporkan seorang wanita yang juga penjawat awam berusia 45 tahun kerugian RM162,554.70 selepas terjerat dengan ‘Love Scam’ sejak tahun lalu.

Dilaporkan, mangsa mula berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial LinkedIn sejak April tahun lalu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Hassan Asqad’ dan mendakwa berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pembinaan, Hassan and Sons Construction Incorporation yang berpangkalan di Guangzhou, China.

Shahul Hamid berkata, scammer itu bukan saja daripada negara luar, tetapi orang tempatan juga sudah pandai melakukan modus operandi ini.

“Disebabkan itulah penting untuk wanita khususnya tidak melayan sebarang panggilan tidak dikenali, semak nombor telefon yang tertera sama ada pernah menghubungi atau tidak dan jika boleh matikan panggilan jika berpendapat ia seakan mencurigakan.



“Bila anda sudah tertipu, beratus ribu atau berjuta wang anda yang selama ini disimpan untuk hari tua pun tidak akan dapat diperoleh semula,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai, berkata kebanyakan mangsa penipuan cenderung terdiri daripada wanita pertengahan umur, berpendidikan tinggi, mudah mempercayai orang lain dan mempunyai sifat ketagihan.

Katanya, ini juga berkemungkinan disebabkan kumpulan ini lebih cenderung mencari pasangan melalui dalam talian berbanding dengan kumpulan umur yang lain.

“Justeru, perkara ini bercanggah dengan kepercayaan popular bahawa orang ”bodoh” selalu ditipu atau mudah ditipu.



“Selain itu, individu yang mempunyai keyakinan terlalu tinggi juga berupaya cenderung ditipu kerana mereka yakin boleh mengelakkan diri dari ditipu kerana dapat meramalkan jika adanya percubaan untuk penipuan percintaan,” katanya.

Katanya lagi, perkembangan pesat teknologi komunikasi digital juga mewujudkan pelbagai bentuk interaksi sosial dan percintaan baharu di laman web, media sosial dan aplikasi temu janji.

“Terdapat empat sebab utama mengapa alat ini menjadi tempat utama dalam mencari pasangan iaitu teknologi komunikasi baharu menawarkan kelebihan untuk mengurangkan ketakutan terhadap pertimbangan dan penolakan sosial.

“Elemen kedua ialah teknologi komunikasi digital ini membenarkan pengguna memilih dan juga secara aktif mengubah suai profil fizikal dan personaliti mereka.



“Selain itu, ia membolehkan individu yang mempunyai sedikit masa lapang untuk membolehkan individu mendapatkan “padanan sempurna” pasangan berdasarkan nilai, minat, kedudukan geografi, keutamaan estetik dan juga agama,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan lebih banyak kajian perlu dilakukan sekiranya kerajaan ingin membangunkan program pencegahan memandangkan ‘Love Scam’ adalah satu bentuk penipuan pemasaran besar-besaran oleh kumpulan jenayah antarabangsa.

Sumber – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button