Filem Jiwa 8 Belas berhadapan risiko
Oleh Pena Merah
Selepas menonton filem Jiwa 8 Belas yang dibikin pada 2018, namun baru siap untuk ditayangkan, barangkali agak sukar bagi naskhah arahan S Baldev Singh ini untuk bersaing dengan beberapa filem genre lain yang sedang mengisi slot di pawagam.
Mula menemui penonton hari ini, filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu dikhuatiri berdepan risiko kurang mendapat sambutan atas beberapa faktor seperti kualiti dan aktiviti promosi agak lewat.
Ini juga mungkin ‘harga’ perlu dibayar Baldev apabila mengambil langkah berani mengetengahkan ramai bakat baharu yang masih kurang dikenali ketika penggambaran filem Jiwa 8 Belas dilakukan.
Ketika itu, dua tunjang utama naskhah ini adalah Shah Hazvee dan Sophia Albarakbah, masing-masing masih dianggap ‘hijau’ dalam dunia lakonan serta kurang pengalaman.
Bagaimanapun, Baldev yang ditemui pada sesi tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas di pawagam TGV di kompleks beli-belah, Petaling Jaya, baru-baru ini, optimis dengan langkah diambil atas kepercayaan bakat baharu yang digilap mampu menyinar suatu hari kelak.
“Saya mahu latih ramai bakat baharu. Kalau ikhlas dan bekerja keras, bakat baharu ini boleh buktikan sesuatu.
“Mungkin akan datang mereka boleh berdiri setanding dengan pelakon yang mempunyai nama.
“Saya sudah tua, jadi mahu beri dan tinggalkan sesuatu kepada masyarakat kerana mungkin suatu masa nanti saya sudah tiada. Jadi, saya gembira dengan apa yang dilakukan.
“Ini juga adalah usaha saya untuk membantu orang lain mencari rezeki dan itu juga dikira sebagai jihad,” katanya kepada BH Online.
Filem Jiwa 8 Belas berkisar kisah pasangan kekasih yang melalui pengalaman pahit apabila mereka diculik sekumpulan samseng yang memperdagangkan wanita ke Thailand.
Biarpun mengakui wajah segar yang dipaparkan pada poster filem mungkin sukar menarik perhatian penonton, Baldev bangga dapat melatih ramai bakat baharu.
Malah, pengarah senior itu mahu terus berusaha mencari pelapis baik dalam kalangan pelakon atau kru.
“Saya bangga dengan pelakon baharu yang saya ambil. Mungkin sedikit masa lagi, mereka akan menyinar. Sebagai contoh, Sophia pada awalnya saya ambil sebagai pelakon tambahan sahaja.
“Tetapi, selepas saya latih, akhirnya dia mampu menggalas watak utama. Saya langsung tidak berdepan masalah untuk melatih bakat baharu. Sama sekali tidak rasa berat atau terbeban.
“Saya ada banyak pengalaman dalam industri filem ini. Jadi, disebabkan itu, saya lebih suka memberi. Macam Shah, dia juga tunggu masa untuk bersinar,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai buah tangan terbarunya itu, Baldev berkata, biarpun menggunakan bajet sendiri, beliau berbangga kerana mampu melahirkan ramai karyawan baharu.
“Kami keluarkan bajet sendiri, tidak ada bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan. Saya keluarkan duit sendiri. Antara lain, tujuan saya adalah untuk melahirkan bakat baharu.
“Filem ini sudah melahirkan 32 karyawan baharu merangkumi pelakon dan kru produksi.
“Kalau ikhlas dan berkerja keras, mereka yang dalam kalangan bakat baharu boleh buktikan sesuatu. Mungkin pada masa akan datang, mereka boleh berdiri setanding dengan pelakon yang ada nama,” katanya.
Filem Jiwa 8 Belas turut dibintangi pelakon terkenal tanah air, antaranya A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Izuan Ramli dan Ikhram Juhari.
-Berita Harian-