561 warga asing ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen
Oleh Pena Merah
Seramai 561 warga asing dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu yang di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, hampir 80 peratus penghuni pangsapuri itu adalah warga asing dan kebanjiran mereka menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menjalankan risikan beberapa minggu lalu sebelum melaksanakan operasi tersebut.
“Operasi bermula pukul 12 tengah malam dengan kekuatan seramai 532 anggota terdiri daripada pegawai-pegawai JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Kita menggeledah hampir semua unit di tujuh blok yang ada, yang mana 752 warga asing diperiksa dan seramai 561 ditahan.
“Kita bawa mereka ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk semakan dokumen sebab ada mengatakan majikan memegang dokumen,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Operasi yang tamat sekitar pukul 2 pagi itu menyaksikan daripada 561 warga asing yang ditahan, seramai 43 orang daripadanya adalah warga Indonesia, Bangladesh (205 orang), Myanmar (200 orang) dan Nepal (65 orang).
Selain itu, dua orang daripada keseluruhan tangkapan tersebut merupakan warga India, Kemboja (dua orang), Pakistan (38 orang), Sri Lanka (tiga orang), Sierra Leone (dua orang) dan satu orang daripada Cameron.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara tiga bulan hingga 55 tahun.
Ruslin berkata, kebanyakan warga asing yang ditangkap didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Katanya, kesalahan tersebut adalah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa daripada tempoh dibenarkan.
“Bagaimanapun, kita akan buat semakan semula setelah kesemua mereka dihantar ke depoh tahanan dan bagi yang memiliki dokumen pekerjaan serta perjalanan yang sah akan dibebaskan.
“(Bagi) siapa yang didapati bersalah di bawah Akta Imigresen tersebut, kita akan tahan di depoh untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, JIM akan terus melaksanakan operasi, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan serta pas kerja sah.
“Mereka tidak boleh tinggal di Malaysia sekiranya tidak mempunyai apa-apa pas yang sah dikeluarkan (oleh) JIM.
“Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan, bukan sahaja dalam kalangan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat tetapi majikan terdiri daripada rakyat tempatan.
“Mereka boleh disiasat di bawah Akta Imigresen dan dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007,” katanya.
-Utusan-