Kesedihan itu tiada, rindu sahaja yang ada ini – Achey
Oleh Pena Merah
Pelawak dan anggota kumpulan Bocey, Achey, 38, mengakui, meskipun lebih tiga tahun Allahyarham Abam telah meninggal dunia, perasaan rindu terhadap sahabatnya itu seakan sukar dipadamkan.
Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, kerinduan terhadap Allahyarham sentiasa ada di dalam hatinya meskipun kini tidak lagi berasa sedih.
“Kesedihan itu tiada, rindu sahaja yang ada ini. Kenapa kesedihan itu hilang? Sebab kau orang yang baik. Aku kena bangga, bukan bersedih,”katanya.
Achey berkongsi perkara tersebut dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram sempena mengenang ulang tahun kelahiran Allahyarham Abam, semalam.
Selain itu, kata Achey, dia bersama sahabat mereka, Fad Bocey, juga sentiasa berbicara mengenai perihal kelucuan yang dilalui mereka terutama sewaktu Allahyarham masih hidup.
“Sekarang berborak dengan Fad, semuanya kelucuan kita yang lalu saja. Sebab, benda itu boleh buat kami rasa seakan kau ada dengan kami.Penat rasa kehilangan kau…
“Namun rasa penat itu berbaloi bagi kami untuk terus mendoakan kau. Jadi solusinya kami akan sentiasa bercerita pasal kita, sesama kita. Santai dan lebih tenang untuk sentiasa mengingati kita bertiga.
“Walaupun Fad ada kerja dia, aku ada kerja aku dan kau di negeri abadi, kalau aku jumpa Fad konsepnya sekarang itulah seperti di atas, bercerita dan terus bercerita…”katanya.
Allahyarham Abam atau Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 akibat demam panas pada usia 32 tahun.
Abam mendirikan rumah tangga pada 2017 bersama pasangannya, Nor Hidayah Mohd Ali dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lima tahun
-Utusan-