Santo bengang gol kontroversi Toney disahkan

Oleh – Syeikh Baran


Santo bengang gol kontroversi Toney disahkan
Penyerang Brentford, Ivan Toney (dua dari kanan) merembat masuk sepakan percuma ketika berdepan Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Brentford, London awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Pemain Nottingham Forest perlu lebih berjaga-jaga selepas mereka membenarkan penyerang Brentford, Ivan Toney untuk mengalihkan bola ke tempat lebih menguntungkan bagi sepakan percuma yang membantu kelab London itu menang 3-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris, kata pengurus Forest, Nuno Espirito Santo awal pagi tadi.

Pengurus dari Portugal itu kecewa dengan gol penyamaan Toney pada minit ke-19, dengan ulang tayang rakaman televisyen menunjukkan penyerang itu mengubah bola dari kawasan bertanda sebelum melencongkannya melepasi benteng dan menerjah jaring.



Gol pemain berusia 27 tahun itu, yang membuat kemunculan semula selepas digantung lapan bulan kerana kesalahan bertaruh, mencetus kebangkitan Brentford sekali gus membantu kelab bermasalah London barat itu kembali melakar kemenangan selepas lima kekalahan berturut-turut dalam liga.

Ulang tayang di televisyen jelas menunjukkan Toney mengalih bola dua kali daripada tempat asalnya untuk menemui ruang di celah benteng pertahanan Forest, tanpa disedari oleh pengadil.

“Situasinya jelas, ada anjakan bola. Saya fikir setiap orang menyaksikannya,” kata Santo kepada wartawan selepas perlawanan, mencadangkan ia patut diperiksa oleh pengadil terlebih dahulu.

“Tetapi menjadi tanggungjawab kami untuk bertindak lebih matang, tidak membenarkan sepakan percuma itu dilakukan dan kemudian membuat benteng dengan betul.”



Pengurus Brentford, Thomas Frank berkata, beliau belum melihat ulang tayang gol itu dan tidak jelas baginya sama ada mengalihkan bola daripada tempat asalnya tertakluk dalam peraturan.

“Saya hanya mengambil yang positif… ia berada dalam jaring dan dia melakukannya dengan amat bagus,” kata Frank. “Dia seorang pemain yang bijak, apa lagi yang boleh saya katakan.”

Gol kemenangan Brentford, yang hadir pada minit ke-68 menerusi Neal Maupay disahkan selepas semakan VAR sekalipun potensi dia terpegang bola.

Santos berkata, beliau yakin ia ‘handball’ apabila mereka menunjukkan ulang tayang di stadium, tetapi menegaskan ada semakan VAR tidak seperti gol Toney.



Keputusan itu mengecewakan katanya “tetapi kami tetap pulang ke Nottingham dengan penuh bangga.” – REUTERS

Sumber – Berita Harian


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading