Kes samun di Ampang, lelaki Rohingya diberkas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki Rohingya ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata di sekitar Ampang, sejak tahun lalu.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Ampang di sini, pada pukul 2.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, penahanan suspek dibuat susulan menerima laporan dan risikan yang dijalankan.
Menurut beliau, terdahulu polis menerima laporan kes samun di sebuah kedai haiwan yang berlaku pada 3.26 petang pada 22 November tahun lalu.
“Mangsa berusia 54 tahun mendakwa didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mana seorang daripadanya masuk ke dalam kedai manakala seorang lagi menunggu di luar premis.
“Suspek mengeluarkan parang dari beg sandang lalu menarik mangsa ke peti juruwang dan mengarahkan rakan mangsa menyerahkan wang.
“Suspek turut mengambil beg berisi buku dan ubat-ubatan di dalam premis itu sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini
Mohd. Azam berkata, polis turut merampas beg galas, pakaian, topi keledar dan sebilah parang dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek yang ditahan adalah individu yang masuk ke dalam premis dan mengacukan parang manakala semakan mengenai rakan sejenayahnya pula sudah ditahan dan dituduh atas kesalahan mencuri motosikal.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Januari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya
Sumber – UTUSAN