Le Tour De Langkawi kembali ke Langkawi

 

Oleh Pena Merah

Le Tour De Langkawi kembali ke Langkawi
Pemenang jersi pada perlumbaan LTdL tahun lalu (dari kiri) Simon Pellaud, Simon Carr, Arvid de Kleijn dan Vadim Pronskiy

Perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober ini sah kembali ke Pulau Langkawi selepas dikeluarkan daripada laluan perlumbaan pada edisi tahun lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abd Jalal dengan memaklumkan peringkat pertama perlumbaan akan bermula di pulau legenda Mahsuri itu.



“Ketika ini, kami masih lagi melakukan tinjauan laluan untuk bahagian Semenanjung dengan terdapat beberapa pilihan lain. Apapun, kami tak boleh mengumumkannya pada waktu sekarang, negeri manakah yang bakal dilalui pelumba selepas memulakan saingan di Langkawi,” kata Emir.

“Dari sudut bilangan peringkat perlumbaan, memang kalau boleh kami nak menambahnya tetapi semuanya berbalik kepada kos. Begitu juga dengan perlumbaan klasik atau 1.1, jika diadakan ia akan membabitkan nilai jumlah hadiah kemenangan yang baharu.

“Apapun, kami mengharapkan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu, bersempena dengan ulang tahun ke-50 PETRONAS iaitu penaja yang mengikat kontrak selama tiga tahun bermula tahun lalu.”

Pada edisi tahun lalu, saingan membabitkan 22 pasukan yang merangkumi dua pasukan berstatus WorldTeam iaitu EF Education-EasyPost dari Amerika Syarikat dan Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan).



“Kami dalam proses untuk mendapatkan pasukan yang akan mengambil bahagian dan cuba mencari tambahan dari WorldTeam. Kemungkinan besar EF Education-EasyPost akan datang untuk mempertahankan kejuaraan (Jersi Kuning dan pasukan keseluruhan).

“Begitu juga dengan Astana Qazaqstan Team, akan hadir seperti tahun lalu,” kata Emir.

-Berita Harian-



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button